Normalisasi maksiat semakin membimbangkan apabila perbuatan yang jelas melanggar batas syariah mula dianggap biasa, malah diraikan di media sosial.

Hubungan lelaki dan wanita yang belum sah, tetapi dipaparkan secara terbuka dengan aksi mesra atas alasan kerja, promosi atau penciptaan kandungan, kini menjadi trend yang dinormalisasikan.

Lebih menyedihkan, masyarakat bukan sahaja tidak menegur, bahkan memuji dan menggalakkan, sehingga ramai yang lain turut mengikut jejak langkah yang sama.

Fenomena normalisasi maksiat ini menjadi lebih berat apabila melibatkan individu Muslim berpengaruh dan pemimpin masyarakat yang sepatutnya menjadi contoh kepada generasi muda.

Apa yang dipertontonkan akhirnya membentuk persepsi bahawa batas pergaulan itu fleksibel, boleh dirunding, dan boleh dilanggar demi populariti atau keuntungan.

Sedangkan Islam sangat tegas berkenaan normalisasi maksiat dan dalam menjaga maruah, adab serta sempadan antara lelaki dan wanita.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan Biasakan Maksiat Ketika Sendirian, Amalkan Doa Ini Agar Terhindar Dari Kejahatan Hati

Jangan normalisasikan maksiat menjelang bulan Rejab

Ketika umat Islam sedang melangkah ke bulan Rejab, bulan persediaan menuju Ramadan, peringatan ini seharusnya lebih dihayati.

Jangan sampai memasuki Ramadan nanti, kandungan yang melampaui batas syariah semakin rancak atas alasan kempen dan iklan Hari Raya.

Persoalan yang perlu ditanya ialah, di manakah keberkatan rezeki apabila jalan mencarinya bercampur dengan pelanggaran perintah Allah?

Islam menegaskan bahawa kebaikan dan keburukan tidak boleh dicampur aduk.

Tidak benar logik bahawa maksiat boleh “dibersihkan” dengan sedekah selepas itu. Ini adalah salah faham besar yang menjadi tipudaya halus syaitan, sebagaimana firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ۝ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, maka aku akan memperelokkan maksiat kepada mereka di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.” (Surah al-Hijr: 39–40)

Antara peringatan paling keras Rasulullah SAW berkaitan normalisasi maksiat ialah larangan mendedahkan dosa secara terbuka. Baginda bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ

Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan kecuali golongan al-Mujahirin.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Golongan al-Mujahirin ialah mereka yang melakukan dosa iaitu normalisasi maksiat, kemudian mendedahkannya secara terbuka, sedangkan Allah telah menutup aib mereka.

Dalam konteks hari ini, pendedahan itu berlaku melalui video, gambar dan kandungan media sosial yang sengaja mempamerkan perbuatan mendekati maksiat, lalu dijadikan tontonan umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh Dalam Zina & Maksiat? 3 Doa Taubat Ini Buktikan Pintu Allah Sentiasa Terbuka

Normalisasi maksiat berkait rapat dengan sifat malu

Normalisasi maksiat juga berkait rapat dengan hilangnya sifat malu. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Jika engkau tidak malu, maka buatlah apa yang engkau mahu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apabila malu terhakis, dosa tidak lagi dirasakan sebagai kesalahan, malah dianggap kandungan kreatif. Inilah pintu awal kepada keruntuhan nilai dan akhlak masyarakat.

Islam bukan sahaja melarang zina, bahkan melarang segala jalan yang mendekatinya. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-‘Azim, larangan ini merangkumi segala bentuk sebab, ajakan dan jalan yang membawa kepada zina, termasuk pandangan, kata-kata dan pergaulan bebas.

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa zina tidak bermula dengan perbuatan fizikal semata-mata. Baginda bersabda:

فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ

Maksudnya: “Zina mata ialah melihat dan zina lidah ialah berkata-kata.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hakikat ini menuntut setiap Muslim agar lebih berhati-hati dengan apa yang dipaparkan dan dikongsikan.

Kandungan yang kelihatan ‘sweet’, ‘comel’ dan ‘tidak apa-apa’ boleh menjadi pintu normalisasi maksiat yang akhirnya merosakkan benteng iman masyarakat.

Islam tidak mengajar kita menghukum, tetapi menegur dengan ilmu dan kasih sayang.

Teguran ini adalah peringatan agar umat Islam supaya jangan normalisasi maksiat dan kembali kepada konsep keberkatan, menjaga malu, serta meletakkan reda Allah sebagai keutamaan, bukan populariti atau keuntungan semata-mata.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!