(Sumber: @miyaamieraa/Threads)

Satu kisah tular membabitkan seorang pelanggan wanita yang membayar burger bernilai RM6 secara online transfer, namun ditolak mentah-mentah oleh peniaga dengan alasan “tak dapat notifikasi SMS”.

Walaupun pembeli menunjukkan bukti transaksi bank yang telah berjaya, peniaga tersebut, sepasang suami isteri, tetap berkeras mengatakan bayaran tidak diterima, dengan makcik itu hanya berkata, “Kalau tak masuk, tak masuk la.” Akhirnya, si suami hulur RM6 secara tunai dan makcik tersebut menutup kes dengan ayat, “Nanti datang semula.” Namun cerita tidak tamat di situ.

Beberapa hari kemudian, pelanggan itu kembali ke gerai tersebut untuk menyemak semula status pembayaran. Malangnya, jawapan yang diterima tetap sama. Malah, si suami pula bersikap biadab dengan menjeling kepada mereka.

Pelanggan tersebut menyebut bahawa isu ini bukan soal RM6 semata-mata, tetapi prinsip dan kejujuran dalam urus niaga, apatah lagi atas nama peniaga Muslim.

Dari perspektif Islam, kejadian ini jelas menunjukkan betapa bahayanya apabila amanah diabaikan demi keuntungan kecil. Dalam kes ini, bukan soal tak tahu menyemak transaksi tetapi keengganan untuk mengakui kebenaran walaupun bukti sudah jelas di depan mata.

Sikap sengaja menafikan bayaran meskipun duit telah ditolak adalah satu bentuk penipuan terang-terangan, yang dalam Islam dikira sebagai pengambilan hak orang lain secara batil. Rezeki itu bukan sekadar wang yang diterima, tetapi keberkatan yang Allah letakkan dalam setiap ringgit yang halal.

Rasulullah SAW bersabda:

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang-orang benar, dan para syuhada.”

(Riwayat Tirmizi)

Islam tidak memandang kecil urus niaga harian, walaupun nilainya hanya RM6. Kerana itulah Rasulullah SAW sangat menitikberatkan kejujuran walaupun dalam urusan sebiji kurma. Apabila peniaga menjadikan SMS sebagai ‘timbangan akhir’ sedangkan bukti sudah jelas, maka di situlah letaknya kegagalan dalam menegakkan kebenaran.

Rezeki yang datang dari kekeliruan, penipuan, atau penolakan hak orang lain, tidak akan memberi ketenangan, malah boleh mengundang murka Allah SWT, Naudzubillahimindzalik.