Kredit Gambar:FB Fadhlina Sidek
Kredit Gambar:FB Fadhlina Sidek

Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenalkan langkah tambahan bagi memperkukuh ekosistem sekolah—dengan tumpuan khusus kepada elemen pembinaan karakter kemuliaan insan, keselamatan, dan pemakanan—adalah satu inisiatif yang wajar dipuji. Ia menandakan satu anjakan penting daripada paradigma pendidikan yang sering dikritik sebagai terlalu berorientasikan peperiksaan dan pencapaian akademik semata-mata.

Dalam era di mana kita dibelenggu oleh pelbagai krisis sosial dalam kalangan pelajar, seperti kes buli yang ekstrem, masalah kesihatan mental yang meruncing, dan kelunturan adab terhadap guru dan ibu bapa, langkah KPM ini dilihat sebagai satu keperluan mendesak. Persoalannya bukan lagi “mengapa”, tetapi “bagaimana” elemen-elemen murni ini dapat diterjemahkan melangkaui retorik pekeliling dan modul, untuk benar-benar dihayati dalam denyut nadi institusi sekolah.

Bagi kita sebagai umat Islam, gagasan untuk memartabatkan “karakter” dan “kemuliaan insan” ini bukanlah satu idea baharu atau satu respons ‘ad-hoc’ terhadap krisis moden. Ia adalah teras dan falsafah asas pendidikan itu sendiri, seperti yang telah digariskan sejak 1,400 tahun dahulu. Misi utama Rasulullah SAW diutuskan ke muka bumi ini telah terangkum dalam sabda baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Baihaqi).

Hadith ini meletakkan akhlak dan pembinaan karakter sebagai matlamat tertinggi risalah kenabian. Justeru, mana-mana sistem pendidikan yang memisahkan antara pemerolehan ilmu ta’lim dan pembentukan peribadi arbiah dan tazkiyah adalah satu sistem yang tempang dan telah terpesong daripada matlamat asalnya. Pendidikan dalam Islam bukanlah bertujuan untuk melahirkan “pekerja” yang bijak, tetapi untuk membina “insan” yang beradab dan mengenali Tuhannya.

Ilmuwan ulung, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, telah lama menghuraikan krisis pendidikan moden. Menurut beliau, masalah utama dalam dunia ilmu hari ini ialah “kehilangan adab (loss of adab}. Bagi beliau, pendidikan yang sebenar dirangkum dalam istilah Ta’dib. Ia berasal daripada akar kata adab, yang bermaksud pengenalan dan pengiktirafan terhadap hakikat sesuatu, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Ini bermakna, pendidikan Ta’dib ialah satu proses menanamkan adab—adab terhadap Allah SWT, adab terhadap Rasulullah SAW, adab terhadap ibu bapa, guru, masyarakat, alam sekitar, dan terhadap diri sendiri.

Apabila KPM menyebut tentang “pembinaan karakter” dan “karamah insaniah”, ia secara langsung menyentuh konsep T’adib ini. Kemuliaan insan yang disebut dalam al-Quran (“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam…” – Surah al-Isra’: 70) hanya dapat dizahirkan apabila seseorang itu memahami adab dan kedudukannya sebagai khalifah dan hamba. Seseorang pelajar yang memahami karamah insaniah tidak akan merendah-rendahkan martabat orang lain melalui buli, kerana dia menghormati kemuliaan insan yang Allah berikan kepada semua.

Malah, Imam al-Ghazali dalam magnum opusnya, Ihya Ulumiddin, meletakkan penyucian jiwa sebagai syarat utama sebelum seseorang itu layak menuntut ilmu. Beliau memberi amaran bahawa ilmu yang dicari tanpa niat membersihkan hati—sebaliknya hanya untuk mengejar pangkat, kemegahan, atau habuan duniawi—akan menjadi hijab (penghalang) antara dirinya dengan Allah, malah boleh membawa kepada kebinasaan. Inilah yang kita saksikan hari ini: ramai yang berilmu tetapi tidak beradab; ramai yang bijak tetapi korup.

Justeru, untuk menjayakan agenda murni KPM ini, ekosistem sekolah tidak boleh lagi dilihat sebagai kilang yang memproses pelajar untuk pasaran kerja. Ia mesti dikembalikan fungsinya sebagai taman asuhan madrasah untuk T’adib Guru bukan sekadar mu’alim (penyampai maklumat), tetapi harus berperanan sebagai murabbi (pendidik jiwa) dan (pembentuk adab) yang menjadi qudwah hasanah contoh teladan yang baik. Elemen keselamatan dan pemakanan yang disebut KPM juga selari; akhlak yang baik sukar dibentuk dalam persekitaran yang tidak selamat atau dengan pemakanan yang tidak halal kerana ia memberi kesan langsung kepada jiwa dan jasad.

Inisiatif KPM ini adalah satu langkah ke arah yang benar. Namun, kejayaannya bergantung pada komitmen kita semua—pentadbir, guru, dan ibu bapa—untuk beralih daripada falsafah pendidikan utilitarian yang sempit, kepada falsafah syumul (menyeluruh). Ukuran kejayaan sebenar pendidikan negara kita pada masa hadapan bukanlah pada bilangan A yang dicapai, tetapi pada kualiti adab dan akhlak generasi yang kita lahirkan.

Sumber artikel: Berita Harian


Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat ⤵️

Website: https://www.waktusolat.digital/

Facebook:https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram:https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy