Dalam era digital hari ini, ‘gaming’ menjadi salah satu hiburan utama anak muda dan bahkan orang dewasa. Ia mampu menghilangkan stres, mengeratkan hubungan dengan rakan, dan mengasah kemahiran tertentu.
Namun, di sebalik keseronokan itu, ada bahaya yang perlu diwaspadai iaitu apabila ‘gaming’ mula melalaikan kita daripada tanggungjawab utama sebagai seorang Muslim, terutamanya ibadah wajib seperti solat.
Islam tidak melarang hiburan selagi ia berada dalam batas syariat. Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau dan berinteraksi dengan sahabat dalam bentuk hiburan yang sihat. Namun, Allah mengingatkan dalam Al-Quran:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Surah al-Munafiqun, Ayat 9)
Prinsip ini juga digunakan untuk hobi seperti ‘gaming’, ia dibenarkan, tetapi tidak boleh sampai melalaikan daripada mengingati Allah.
Ketagihan bermain ‘game’ hingga meninggalkan solat, mengabaikan tanggungjawab keluarga, atau menjejaskan kesihatan adalah tanda hiburan itu telah melampaui batas. Islam mengajar kita konsep wasatiyyah (kesederhanaan) supaya semua urusan dunia diseimbangkan dengan tuntutan akhirat.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu meletakkan ibadah sebagai keutamaan pertama dan hiburan sebagai pelengkap, bukan sebaliknya. ‘Gaming’ sepatutnya menjadi ruang rehat untuk menyegarkan fikiran, bukannya menjadi sebab kita jauh daripada Allah SWT.
Mengurus masa dengan bijak, menghentikan permainan ketika masuk waktu solat, dan mengelakkan konten yang bercanggah dengan akidah atau akhlak adalah tanda kita menghormati batas Islam dalam hiburan.
Hiburan itu sementara, tetapi azab akibat lalai dari melakukan ibadah adalah selama-lamanya.
Biarlah berpada dan sederhana
18 Aug 2026