“Content ghairah” atau kandungan video atau gambar yang mendedahkan aurat dan mengundang nafsu kini semakin berleluasa di media sosial. Ramai yang melihatnya sebagai jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan tanpa perlu bekerja keras seperti pekerjaan lain.
Namun, dari perspektif Islam, sumber rezeki sebegini jelas tergolong dalam kategori haram, kerana ia berpunca daripada maksiat dan menggalakkan kemungkaran.
Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ.
“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka Neraka lebih layak baginya.”
(HR at-Thabrani dalam Al-Kabir, 19/136; Sahihul Jami’, 3594)
Rezeki yang diperoleh daripada konten lucah, gambar seksi, atau video yang mengundang syahwat, walaupun memberi keuntungan besar di dunia, akan membawa kerugian yang lebih dahsyat di akhirat. Bahkan, ia boleh menjadi sebab doa ditolak, hati menjadi keras, dan hidup hilang keberkatan.
Ada yang memberi alasan bahawa mereka terpaksa atau sekadar ikut trend demi kelangsungan hidup. Namun, Islam mengajar bahawa rezeki yang halal walau sedikit tetap lebih mulia daripada rezeki haram walau bergunung sekalipun.
Allah menjamin rezeki setiap hamba-Nya, dan tugas kita hanyalah mencari dengan cara yang bersih serta menjauhi segala bentuk kemaksiatan.
Masyarakat perlu sedar bahawa normalisasi “content panas” bukan sekadar isu moral, tetapi ancaman kepada maruah, akhlak, dan kesejahteraan umat.
Apabila aurat dijadikan bahan tontonan umum demi keuntungan, ia merosakkan diri dan mengundang dosa yang berterusan. Menutup aurat dan menjaga kehormatan adalah perintah Allah, dan meninggalkannya demi keuntungan dunia hanya akan membawa penyesalan di akhirat kelak.
Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya, InsyaAllah.