Kedatangan bulan Zulhijjah pastinya dinantikan dengan penuh kerinduan.
Di sebalik takbir raya yang bergema, ramai dalam kalangan kita yang berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah penyembelihan.
Namun, sedarkah kita bahawa dalam keghairahan mengejar pahala, ada jerat yang menanti andai kita lalai?
Ada kalanya, niat yang murni dicemari oleh kejahilan diri sehingga kita terjerumus melakukan dosa dalam ibadah korban tanpa kita sedari.
Alangkah ruginya andai titisan darah haiwan korban yang mengalir itu tidak memberi apa-apa makna di akhirat kelak, melainkan hanya dosa yang memberatkan timbangan keburukan kita.
Melalui perkongsian penuh hikmah daripada pendakwah bebas, PU Salman, beliau mengingatkan masyarakat tentang kepentingan menjaga syariat agar ibadah ini diterima sepenuhnya oleh Allah SWT.
Mari kita telusuri dan fahami agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.
1. Mengabaikan Hak Fakir Miskin Menjadi Dosa Dalam Ibadah Korban
Perkara pertama yang ditegaskan oleh PU Salman adalah mengenai pembahagian daging mentah untuk fakir miskin.
Menjadi satu kewajipan syarak untuk memastikan golongan yang memerlukan ini menerima hak mereka dalam bentuk daging yang belum dimasak.
Menurut Imam an-Nawawi dalam kitabnya:
الأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا
“Pandangan yang paling sahih adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripadanya.”
Imam Ibnu Hajar turut menambah bahawa memadai sekiranya bahagian tersebut diberikan walaupun kepada seorang fakir miskin, asalkan jumlahnya mengenyangkan dan bukan dalam kuantiti yang terlalu sedikit.
Kegagalan mengasingkan bahagian ini, atau tindakan memasak kesemua daging untuk majlis makan-makan secara rawak tanpa menyerahkan hak golongan miskin terlebih dahulu, adalah haram.
Tindakan melupakan golongan asnaf ini merupakan satu dosa dalam ibadah korban yang merosakkan keberkatan ibadah.
2. Menjual Daging Dan Bahagian Sembelihan Ibadah Korban
Seterusnya, PU Salman memberi amaran keras kepada peserta mahupun penerima daging yang bukan dalam kategori fakir miskin agar tidak sesekali menjual apa sahaja hasil daripada binatang sembelihan tersebut.
Sama ada daging, kulit, tulang, mahupun lemaknya, tindakan menjualnya adalah haram di sisi syarak.
Perkara ini bersandarkan kepada pesanan besar daripada Baginda Rasulullah SAW:
مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَّتِهِ فَلَا أُضْحِيَّةَ لَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjual kulit haiwan korban, maka tidak ada ganjaran korban baginya.” (Hadis Riwayat al-Hakim)
Apabila pahala ibadah telah terbatal, yang tersisa hanyalah penat lelah dan dosa.
Oleh itu, pastikan tiada sebarang transaksi jual beli yang berlaku, melainkan daging itu diterima oleh fakir miskin, di mana golongan asnaf ini diberikan kelonggaran oleh syarak untuk memanfaatkannya mengikut keperluan mereka.
Jangan biarkan keuntungan dunia yang sedikit menjadi punca kita melakukan dosa dalam ibadah korban.
3. Memberi Daging Lebih Kepada Petugas Sebagai Upah Kerja
Ini merupakan satu amalan yang sangat kerap berlaku ketika ibadah korban di masjid atau surau di Malaysia.
Sering kali, pihak pengurusan memberikan bahagian daging yang lebih banyak kepada penyembelih, pelapah, atau petugas atas dasar mereka telah penat bekerja.
PU Salman menegaskan bahawa perbuatan ini adalah haram dan berdosa.
Sebagai contoh, jika orang awam menerima satu kilogram, pekerja tidak boleh diberikan dua kilogram atas kapasiti “upah” kerja mereka.
Saidina Ali bin Abi Thalib RA telah menceritakan pengalaman beliau menguruskan unta korban Rasulullah SAW:
أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَقْسِمَ لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلَالَهَا عَلَى الْمَسَاكِينِ وَلَا أُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا مِنْهَا شَيْئًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan aku untuk menguruskan unta-unta korbannya, menyedekahkan dagingnya, kulitnya, dan pakaiannya kepada orang-orang miskin, serta aku tidak dibenarkan memberikan apa-apa bahagian daripada sembelihan itu kepada penyembelih sebagai upah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Memberikan kelebihan daging sebagai upah kerja merupakan satu bentuk dosa dalam ibadah korban.
Sekiranya pihak pengurusan ingin menghargai jasa para petugas, berikanlah ganjaran dalam bentuk wang ringgit atau barangan lain, bukannya menggunakan daging korban tersebut.
Pengajaran Untuk Ummah
Sesungguhnya, ibadah yang agung ini memerlukan ilmu pengetahun yang betul, bukan sekadar ikutan adat resam semata-mata.
Marilah kita bersihkan diri daripada sebarang kelalaian dan sentiasa merujuk kepada para alim ulama agar kita terselamat daripada terjebak dalam dosa dalam ibadah korban.
Wallahu a’lam.
Sumber: Instagram @pusalman
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.