Isu air liur basi yang keluar ketika tidur sering menjadi kerisauan ramai, khususnya apabila seseorang bangun untuk menunaikan solat Subuh lalu mendapati ada kesan kekuningan atau bau masam pada pakaian atau telekung.

Ada yang terus solat tanpa memikirkannya, tetapi tidak kurang juga yang mula bertanya: “Najis ke air liur basi ni? Sah tak solat kalau tak basuh?”.

Kekeliruan ini berlaku kerana ia sesuatu yang sering terjadi, namun jarang dibincang secara jelas.

Dalam Islam, menjaga kesucian tubuh, pakaian dan tempat solat adalah antara asas penting dalam syarat sah solat.

Namun sebelum menghukum sesuatu sebagai najis atau tidak, kita perlu kembali kepada prinsip fiqh dan panduan Rasulullah ﷺ. Asal sesuatu itu adalah suci, kecuali ada dalil atau bukti yang jelas ia najis.

Para ulama menjelaskan bahawa air liur manusia secara asalnya adalah suci. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
Maksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
(Surah al-Isra’, ayat 70)

Kemuliaan ini merangkumi tubuh manusia yang tidak dianggap najis melainkan pada bahagian atau perkara yang memang ditetapkan syarak. Dalam hadis sahih, Rasulullah ﷺ turut menegaskan:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ
Maksud: “Sesungguhnya orang mukmin tidak najis.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ini bermaksud peluh, air liur, daki dan apa sahaja yang keluar dari anggota selain kemaluan adalah suci.

Bahkan Saidatina Aisyah r.a. menceritakan bahawa ketika beliau sedang haid, baginda Nabi ﷺ tetap minum pada tempat yang sama pada bekas minuman yang disentuh bibirnya.

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ ﷺ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ
Maksud: “Aku minum ketika aku haid, lalu aku berikan bekas itu kepada Nabi ﷺ, dan baginda meletakkan mulutnya pada tempat aku minum, lalu baginda minum.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa air liur manusia adalah suci. Maka air liur basi yang keluar ketika tidur juga dihukumkan suci sekiranya ia benar-benar air liur biasa.

Namun, keraguan biasanya timbul apabila air liur itu mengering dan meninggalkan kesan kekuningan atau bau masam yang kuat. Di sinilah perbahasan ulama menjadi penting.

ARTIKEL BERKAITAN: Solat Tidak Perlu Cahaya, Sah Biarpun Dalam Gelap Cuma Baca Doa Perlindungan Elak Gangguan Syaitan

Air liur basi busuk, warna kuning adalah najis

Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj, jika air yang keluar dari mulut ketika tidur berasal dari perut, iaitu berbau busuk atau berwarna kekuningan yang luar biasa, maka hukumnya najis.

Ini kerana ia bukan lagi air liur biasa, tetapi cecair perut yang keluar bersama campuran muntah atau unsur lain.

Namun jika ia tidak pasti, atau jika hanya kelihatan kesan biasa air liur basi, ia masih dianggap suci.

Ulama menegaskan bahawa perut tidak menghasilkan air liur; ia menghasilkan asid yang baunya jauh lebih busuk. Oleh itu, air liur basi yang biasa dialami umat Islam setiap pagi bukanlah najis.

Imam al-Nawawi dalam al-Tabsirah menjelaskan perbezaan antara air liur dari mulut dan dari perut, namun beliau menutup dengan satu kaedah fiqh penting: jika seseorang ragu-ragu, kesuciannya dikekalkan.

Bahkan beliau menyatakan ia termasuk kategori ‘umum al-balwa’, iaitu perkara yang sukar dielakkan sehingga dimaafkan dalam syarak.

Beliau menulis bahawa selepas bertanya kepada pakar perubatan, mereka menafikan bahawa air liur boleh datang dari perut.

Oleh itu, menghukum air liur basi sebagai najis hanya boleh dilakukan jika seseorang benar-benar yakin ia bercampur muntah atau sesuatu dari perut. Jika tidak, ia kekal suci dan solat tetap sah.

Namun sebagai langkah berhati-hati, seseorang boleh membasuh pakaian yang terkena air liur basi jika ia syak atau tidak pasti. Ini amalan ihtiyat (berjaga-jaga) yang baik, tetapi bukan kewajipan.

Kesimpulannya, solat seseorang dengan pakaian yang terkena air liur basi adalah sah selagi ia hanyalah air liur biasa.

Jika seseorang yakin ia cecair dari perut, maka ia najis dan perlu dibersihkan. Namun jika ia kerap berlaku sehingga menyukarkan, ia termasuk najis yang dimaafkan.

Isu air liur basi ini sebenarnya mengajar kita tentang pentingnya memahami fiqh bersuci dengan tepat agar tidak terbeban dengan was-was.

Islam adalah agama yang memudahkan, bukan menyusahkan. Rasulullah ﷺ bersabda:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ
Maksud: “Allah menghendaki bagi kamu kemudahan.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Semoga pencerahan ini membantu kita menunaikan solat dengan lebih yakin, tenang dan jauh dari keraguan.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!