Tahan kentut ketika solat merupakan situasi yang mungkin pernah dialami oleh ramai orang sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dan mengganggu kekhusyukan ketika menghadap Allah SWT.
Ada juga yang berusaha menahan angin sehingga selesai tahiyat akhir, namun akhirnya terkentut selepas memberikan salam pertama.
Keadaan ini menimbulkan persoalan, apakah hukum menahan kentut ketika solat?
Adakah seseorang perlu membatalkan solatnya atau boleh meneruskan sehingga selesai?
Begitu juga jika seseorang terkentut selepas salam pertama, adakah solatnya masih dikira sah?
Hukum Tahan Kentut Ketika Solat Adalah Makruh
Dalam Islam, perbuatan tahan kentut ketika solat adalah MAKRUH sekiranya waktu solat masih panjang kerana keadaan tersebut boleh mengganggu kekhusyukan dan kesempurnaan ibadah.
Daripada Aisyah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلَا وَهُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Tiada solat ketika makanan dihidangkan dan tidak juga ketika seseorang menahan diri daripada membuang air kecil dan air besar.” (Riwayat Muslim, 560)
Maksud ‘tiada solat’ dalam hadis tersebut bukanlah bermakna solat seseorang secara automatik terbatal, sebaliknya merujuk kepada berkurangnya kesempurnaan solat akibat gangguan terhadap kekhusyukan.
Hukum ini turut meliputi perbuatan tahan kentut kerana seseorang mungkin lebih tertumpu kepada usaha menahan angin berbanding menghayati bacaan dan pergerakan solat.
Bagaimanapun, selagi angin belum keluar dan semua rukun serta syarat sah solat dipenuhi, solat tersebut masih SAH.
Perlukah Batalkan Solat Atau Tahan Kentut Sehingga Selesai?
Sekiranya seseorang berasa sangat tidak selesa sehingga sukar memberikan tumpuan ketika solat, sebaik-baiknya dia melepaskan angin, mengambil wuduk semula dan menunaikan solat dalam keadaan lebih tenang jika waktu masih mencukupi.
Namun, sekiranya hanya terasa seperti hendak kentut atau timbul keraguan sama ada angin sudah keluar, seseorang tidak seharusnya terburu-buru membatalkan solat.
Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: “Janganlah dia meninggalkan solat sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati bau.” (Riwayat al-Bukhari, 137 dan Muslim, 361)
Hadis ini menjelaskan bahawa keraguan semata-mata tidak membatalkan wuduk.
Oleh itu, seseorang yang sedang tahan kentut tidak perlu membatalkan solat hanya kerana waswas.
Sebaliknya, jika benar-benar yakin telah terkentut, wuduk dan solatnya terbatal walaupun tiada bunyi atau bau.
Hukum Tahan Kentut Jika Waktu Solat Hampir Tamat

Terdapat pengecualian terhadap hukum makruh menahan kentut apabila seseorang berada di penghujung waktu solat.
Sekiranya tindakan melepaskan angin dan mengambil wuduk semula menyebabkan waktu solat terlepas, seseorang hendaklah mengutamakan kewajipan menunaikan solat dalam waktunya selagi wuduk masih sah.
Dalam keadaan tersebut, perbuatan tahan kentut tidak lagi dihukumkan makruh kerana perlu menjaga kewajipan solat dalam waktunya.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’: 103)
Bagaimanapun, pengecualian ini bukan alasan untuk membiasakan diri melewatkan solat sehingga penghujung waktu.
Tahan Kentut Sehingga Salam Pertama, Sahkah Solat Jika Terkentut Selepas Itu?
Menurut mazhab Syafi’e, seseorang yang berjaya tahan kentut sehingga selesai melafazkan salam pertama, kemudian terkentut sebelum salam kedua, solatnya tetap SAH.
Hal ini kerana salam pertama merupakan salah satu rukun solat, manakala salam kedua tergolong dalam sunat hai’ah.
Rasulullah SAW bersabda:
مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
Maksudnya: “Kunci solat ialah bersuci, yang mengharamkan perkara di luar solat ialah takbir dan yang menghalalkannya kembali ialah salam.” (Riwayat al-Tirmizi, 3)
Namun, jika angin keluar sebelum lafaz salam pertama disempurnakan, solat tersebut terbatal.
Elakkan Tahan Kentut Ketika Solat Demi Menjaga Kekhusyukan
Kesimpulannya, perbuatan tahan kentut ketika solat adalah makruh jika waktu solat masih mencukupi, tetapi tidak membatalkan solat selagi angin belum keluar.
Jika keadaan mengizinkan, persiapkan diri sebaik-baiknya sebelum solat agar hati dan fikiran dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika menghadap Allah SWT.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
BACA JUGA: Tahan Kencing Atau Kentut Ketika Solat? Sah Tapi Hukumnya Makruh & Ganggu Khusyuk
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.