Dalam menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal, umat Islam disarankan agar menghidupkan semangat Baginda melalui amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Menurut perkongsian oleh pendakwah bebas, Ustazah Asmak Hussin di Facebook, terdapat empat amalan utama yang wajar dilakukan sebagai tanda cinta kepada Rasulullah SAW, iaitu memperbanyakkan bacaan al-Quran, berselawat, mendalami sirah bersama keluarga, serta mewarisi dan menyambung perjuangan Rasulullah SAW.
Pertama, membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut kerana al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.
Membaca, memahami, dan menghayati al-Quran adalah cara terbaik untuk menghormati risalah yang dibawa oleh Baginda serta memperkukuh hubungan rohani dengan Allah SWT.
Kedua, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah amalan yang mendatangkan keberkatan. Selawat bukan sekadar lafaz penghormatan, malah tanda kasih dan cinta kita kepada Rasulullah SAW. Sabda Baginda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
(Riwayat Muslim (384)
Amalan ini sewajarnya diperbanyakkan khususnya pada bulan Rabiul Awal.
Ketiga, mendalami sirah Nabi bersama keluarga adalah usaha mendidik generasi muda dengan akhlak dan keteladanan Baginda.
Kisah-kisah perjuangan, kesabaran, dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW perlu diceritakan agar dapat membentuk jiwa yang cinta akan sunnah dan teguh dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Keempat, mewarisi dan menyambung perjuangan Rasulullah SAW dengan menghadiri serta mengimarahkan majlis ilmu dan dakwah merupakan cara terbaik untuk menambahkan kefahaman terhadap agama.
Ceramah, forum, bacaan selawat dan qasidah bukan sahaja menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, bahkan mempereratkan ukhuwah serta menguatkan semangat umat Islam untuk terus berpegang teguh kepada ajaran Baginda.
Sumber: Sinar Harian & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan