
Fenomena menjadi batu api dalam masyarakat kita bukan lagi perkara asing. Apabila seseorang bangga kerana berjaya melaga-lagakan orang lain, itu menandakan hilangnya sensitiviti terhadap nilai persaudaraan dan adab Islam. Isu tular membabitkan Fizz Fairuz mendedahkan realiti yang lebih mendalam, betapa mudahnya manusia mempergunakan kata-kata untuk mencetuskan permusuhan tanpa memikirkan akibatnya.
Islam menekankan bahawa menyatukan manusia adalah satu ibadah, manakala menanam kebencian adalah satu bentuk kerosakan yang dikecam. Dalam Surah Al-Hujurat, Allah SWT menyeru agar umat Islam memperbaiki hubungan sesama mereka dan tidak menjadi penyebab kepada perpecahan. Malah, Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa pengadu domba tidak akan masuk syurga, suatu peringatan yang sangat berat.
Daripada Huzaifah Al-Yamani RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : ‘Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba. (Riwayat Al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)
Kita hidup dalam era media sosial yang menjadikan suara dan rakaman sebagai senjata. Maka, lebih besar tanggungjawab kita untuk berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu. Masyarakat perlu menolak budaya ‘mendedahkan’ dan ‘menyindir’ sekadar untuk mendapatkan perhatian, kerana Islam tidak membenarkan kehormatan seseorang dipermainkan demi hiburan awam.
Sikap batu api bukan sahaja merosakkan individu yang menjadi mangsa, malah ia membusukkan hati pelaku sendiri. Setiap niat yang buruk, setiap hasutan yang tersebar, semuanya akan dihitung di hadapan Allah kelak. Daripada menjadi pencetus konflik, lebih baik kita memilih untuk menjadi pendamai dan pelindung maruah saudara kita.
Isu ini seharusnya menjadi teladan buat kita semua. Kita perlu kembali kepada asas adab Islam, memelihara lisan, dan menginsafi bahawa setiap kata yang kita lafazkan, sama ada di khalayak atau secara peribadi, tidak pernah terlepas daripada pengawasan Allah SWT. Moga kita bukan hanya bijak menilai, tetapi juga ikhlas membaiki diri, InsyaAllah.
Sumber: OhBulan!