Dalam dunia media sosial ini, ramai ibu bapa kini memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak mereka kepada umum, terutama bayi yang baru lahir. Seperti yang dikongsikan oleh Fila Amir, keputusan untuk tidak berkongsi wajah bayinya dibuat demi mengelakkan gangguan penyakit ‘Ain’.
‘Ain’ ialah pandangan mata hasad atau kagum yang boleh membawa mudarat kepada seseorang, dan Rasulullah SAW telah mengajarkan doa serta perlindungan daripadanya.
Islam menuntut kita agar berhati-hati dalam menjaga nikmat yang dikurniakan Allah, termasuk anak-anak. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: “Penyakit ‘Ain itu haq (benar-benar wujud). Jika ada sesuatu yang mendahului takdir, nescaya ‘ain akan mendahuluinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.” (Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan bahawa walaupun sekadar pandangan, hasad yang bersarang di hati manusia mampu membawa kesan yang tidak dijangka, terutamanya pada jiwa dan fizikal yang masih lemah seperti bayi.
Langkah seperti tidak berkongsi wajah, memohon doa perlindungan, dan sentiasa membaca ayat-ayat pelindung seperti al-Mu’awwizat (Surah al-Falaq dan an-Nas) adalah salah satu usaha seorang Muslim dalam menjaga amanah.
Ini bukan soal takbur atau menyembunyikan nikmat, tetapi soal ihsan terhadap makhluk kecil yang masih belum mampu mempertahankan diri mereka sendiri.
Sebagai masyarakat, kita wajar menghormati keputusan sebegini dan tidak menjadikannya bahan sindiran atau perdebatan. Setiap keluarga tahu apa yang terbaik untuk anak mereka.
Apa yang lebih utama ialah mendidik masyarakat supaya lebih prihatin dan beradab dalam memberi reaksi, apatah lagi dalam hal yang berkait dengan perlindungan daripada gangguan yang tidak kelihatan.
Sumber: Oh Bulan!