Gambar sekadar hiasan

Dalam masyarakat moden, ‘zodiac signs’ atau horoskop sering dijadikan bahan hiburan. Ramai yang membaca ramalan bintang untuk tahu tentang jodoh, rezeki, atau personaliti diri.

Namun, timbul persoalan, adakah perkara ini boleh dalam Islam, atau ia termasuk dalam amalan yang ditegah?

Dalam Islam, percaya kepada ramalan bintang sehingga yakin bahawa hidup ditentukan olehnya adalah haram dan merupakan dosa syirik. Ini kerana ia boleh menjurus kepada syirik kecil, iaitu meletakkan pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”

(Riwayat Ahmad)

Namun, bagi tujuan kajian semata-mata (khusus bagi tujuan penyelidikan) tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.

Walau bagaimanapun, yang terbaik ialah menjauhi kerana dikhuatiri lama-kelamaan ia menanam kepercayaan yang salah dalam hati.

Islam mengajar kita bahawa segala rezeki, jodoh dan masa depan adalah dalam ketentuan Allah SWT semata-mata, bukan bergantung pada bintang atau bulan.

Kesimpulannya, “zodiac signs” tidak boleh dijadikan panduan hidup seorang Muslim.

Lebih baik kita gantikan minat membaca horoskop dengan mendalami Al-Quran, hadis, atau buku ilmu yang lebih memberi manfaat untuk hati dan iman.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan