
Politik bukanlah perkara asing dalam Islam, malah ia sebahagian daripada sistem kehidupan yang diatur oleh syariat. Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW sendiri memimpin negara Madinah sebagai seorang Nabi dan juga ketua negara.
Baginda bukan hanya menyampaikan wahyu, tetapi juga melaksanakan urusan pentadbiran, ekonomi, pertahanan dan kehakiman. Ini membuktikan bahawa Islam tidak memisahkan agama daripada urusan pemerintahan dan kepimpinan.
Namun, politik dalam Islam bukan sekadar merebut kuasa atau mencari pengaruh. Ia adalah satu amanah yang besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Maka, sesiapa yang memegang jawatan politik, wajib berlaku adil, jujur dan menjadikan syariat sebagai panduan utama dalam setiap keputusan.
Malangnya, dalam realiti hari ini, politik sering dicemari oleh fitnah, rasuah, permusuhan dan agenda peribadi yang jauh daripada semangat Islam. Budaya politik kebencian dan perpecahan bukan sahaja merosakkan imej agama, malah melemahkan umat Islam sendiri.
Sedangkan Allah SWT telah memerintahkan agar kita bersatu dan menjauhi perbalahan, sebagaimana firman-Nya:
“Dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu” (Surah Al-Anfal: 46).
Islam mengajar bahawa tujuan politik adalah untuk menegakkan keadilan, menjaga kemaslahatan umat dan membawa kesejahteraan kepada rakyat. Oleh itu, umat Islam perlu celik politik dan tidak terikut-ikut dengan budaya politik kebencian tanpa pengetahuan asas. Menyokong pemimpin atau parti bukan kerana taksub, tetapi berdasarkan integriti, prinsip dan ketaatan kepada Allah SWT.