Mak ayah merupakan insan keramat yang paling merindui kepulangan kita di pagi Syawal, namun alangkah hiba hati mereka apabila kepulangan anak menantu rupa-rupanya sekadar menambah beban dan keletihan fizikal buat mereka yang sudah dimamah usia.

Di saat kita sedang bermimpi indah di dalam bilik yang selesa, mak ayah kita yang sudah tua itulah yang seawal pagi lagi sudah bertarung dengan asap dapur dan kuali demi memastikan anak cucu dapat menjamah rendang kegemaran mereka.

Hati mana yang tidak luluh melihat susuk tubuh yang semakin bongkok itu terpaksa menguruskan makan minum, malah ada kalanya kencing berak cucu-cucu yang dibiarkan kelaparan oleh ibu bapa sendiri yang masih “membungkang” tidur.

Hari raya sepatutnya menjadi medan untuk kita membalas jasa dan berbakti, bukannya masa untuk kita menjadi “tuan besar” yang hanya tahu mengisi tembolok tanpa memikirkan titisan keringat orang tua yang semakin kering.

Hilangnya Rasa Malu Dan Akhlak Anak Zaman Sekarang

Satu fenomena akhir zaman yang sangat menyedihkan ialah apabila anak-anak mula kehilangan rasa malu dan adab ketika berada di rumah mak ayah.

Berbeza dengan generasi dahulu yang bangun sebelum Subuh untuk mengemas tempat tidur dan membantu di dapur, sesetengah anak zaman sekarang seolah-olah menganggap rumah orang tua mereka seperti hotel atau homestay.

Mereka tidak malu menunjukkan pekung akhlak yang buruk; bangun lewat, meninggalkan solat Subuh, dan membiarkan tempat tidur berselerak untuk dikemaskan oleh ibu yang sudah uzur.

Perbuatan ini mencerminkan kegagalan dalam menghayati peribadi Islam yang sebenar.

Rasulullah SAW sangat menitikberatkan adab terhadap orang tua. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23:

فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (ibu bapa) sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Jika berkata ‘uh’ pun dilarang, apatah lagi perbuatan menghambakan mak ayah dengan membiarkan mereka bekerja keras untuk keselesaan kita yang muda dan bertenaga.

Sindrom “Scammer” Menantu Dan Ketakutan Mak Ayah

Isu ini menjadi lebih parah apabila melibatkan menantu yang hanya berpura-pura baik sebelum berkahwin.

Ada menantu yang nampak berlebai, bertudung labuh, dan rajin mencium tangan, namun sebaik sahaja pulang ke kampung, mereka menjadi “scammer” yang tidak membantu urusan rumah tangga.

Mak ayah pula sering kali merasa takut untuk menegur kerana bimbang akan ditengking atau menyebabkan anak menantu berkecil hati dan tidak mahu pulang lagi ke kampung pada masa hadapan.

Lebih malang, ada mak ayah yang bimbang akan menjadi mangsa umpatan atau ‘gossip’ anak menantu sendiri ketika mereka berkumpul sesama mereka.

Ketahuilah, setiap perbuatan kita terhadap orang tua akan berbalik kepada kita semula mengikut hukum alam yang ditetapkan Allah.

Jika hari ini kita menghambakan mertua atau orang tua sendiri, jangan terkejut jika suatu hari nanti anak-anak kita akan memperlakukan perkara yang sama kepada kita.

Bak kata pepatah, “What you give, you get back.”

Peranan Suami Dalam Menasihati Anak Bini

Bagi para lelaki yang bergelar suami, anda memikul tanggungjawab besar untuk menasihati isteri dan anak-anak supaya menghormati serta bertimbang rasa terhadap mak ayah dan mertua.

Jangan biarkan keluarga kecil anda hanya mahu hidup mudah dan senang lenang di kampung halaman.

Pastikan isteri anda turut membantu di dapur dan anak-anak dididik untuk menguruskan diri sendiri agar tidak menyusahkan datuk dan nenek mereka.

Ingatlah pesanan Baginda Nabi SAW mengenai keutamaan berbakti kepada ibu:

الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الأُمَّهَاتِ Maksudnya: “Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.” (Hadis Riwayat al-Nasai)

Rumah mak ayah adalah tempat untuk kita berbakti dan meraih syurga, bukannya tempat untuk kita “me time” dengan mengabaikan tanggungjawab.

Keberkatan hidup seorang lelaki sangat bergantung kepada sejauh mana dia memuliakan ibunya.

Jangan hanya tahu memberi duit raya yang segenggam, tetapi lisan dan perbuatan kita mengguris hati mereka sedalam lautan.

Jadikan Syawal Medan Berbakti

Sebagai kesimpulan buat pembaca Waktu Solat Malaysia (WSM), marilah kita bermuhasabah diri.

Adakah kepulangan kita ke kampung halaman benar-benar menggembirakan mak ayah atau sebenarnya menambah beban duka mereka?

Jangan biarkan diri kita tergolong dalam spesies anak yang zalim terhadap orang tua sendiri.

Rebutlah peluang di bulan Syawal ini untuk memandikan mak ayah, memasakkan untuk mereka, dan membiarkan mereka berehat sementara kita menguruskan segalanya.

Itulah masanya untuk kita membalas jasa yang tidak terbalas.

Semoga raya kali ini menjadi lebih berkat dengan adab dan akhlak yang terpuji terhadap insan tersayang.

Maaf andai terkasar bahasa, namun kebenaran harus dinyatakan demi kesejahteraan ukhuwah kekeluargaan kita semua.

Sumber: Facebook Syarifah Zainab Alkaff

BACA JUGA: Jaga Batas Aurat Keluarga Ketika Perayaan, Sepupu & Ipar Bukan Mahram & Tidak Boleh Bersalaman

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!