Sebuah video tular menunjukkan seorang bapa OKU mengesot menuruni tangga Bank Islam di Kelantan kerana tidak dapat mengeluarkan wang tunai.

Yang menyedihkan, dia ditemani dua anak kecil yang setia di sisi. Rakaman itu bukan sekadar menyayat hati, ia membuka mata kita tentang pengorbanan seorang insan yang tabah, demi mencari rezeki untuk anak-anak.

Islam amat menghargai ketabahan dan usaha mencari rezeki halal, terutama apabila dilakukan untuk keluarga.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”

(Hadis Riwayat Ahmad, no. 23408)

Bapa OKU ini menunjukkan teladan dari segi ketabahan dan tanggungjawab walaupun dalam keadaan sukar, dia berdiri teguh demi keluarga.

Dalam Islam, membantu golongan kurang upaya adalah amalan mulia. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Nisa ayat 36:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Keteguhan seorang bapa ini dalam menyara anak-anaknya, walaupun diri sendiri diuji adalah cerminan sangat indah nilai ihsan (kebaikan) yang dituntut dalam Islam.

Lebih daripada itu, kisah ini mengingatkan kita bahawa amar makruf nahi mungkar bukan hanya menyeru kepada amalan baik secara verbal, tetapi juga doa dan tindakan nyata.

Semoga bapa tersebut terus tabah dalam menghadapi ujian kehidupan dan semoga beliau sentiasa berada di bawah lindungan-Nya, InsyaAllah.

Sumber: SirapLimau