Baru-baru ini, kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa mana-mana lelaki Islam yang sengaja meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah, walau sekali saja, boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Langkah ini adalah penambahbaikan terhadap undang-undang sedia ada, hasil pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang kini dikuatkuasakan secara lebih tegas.

Islam meletakkan solat Jumaat sebagai kewajipan dan simbol ketaatan umat Islam kepada Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah al-Jumu‘ah ayat 9 menegaskan bahawa solat Jumaat adalah satu fardhu yang mesti ditunaikan, kecuali ada uzur syarie:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”

Langkah undang-undang ini diadakan sebagai usaha mendidik rakyat, bukan semata-mata menghukum.

Akhirnya, Islam menyeru umat untuk mendekatkan diri kepada Allah, termasuk solat Jumaat. Sama ada hukuman duniawi dilaksanakan atau tidak, tanggungjawab umat Islam ialah menghormati kewajipan tersebut atas dasar iman.

Dengan itu, tindakan undang-undang di Terengganu boleh menjadi peringatan supaya solat tidak dipandang ringan, tetapi menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang Mukmin.

Sumber: SAYS Seismik & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan