Maulidur Rasul menjadi ruang untuk umat Islam menzahirkan rasa syukur atas kelahiran insan, Nabi Muhammad SAW, yang membawa rahmat dan petunjuk kepada seluruh manusia.
Namun, apakah hukum sebenar menyambutnya menurut syariat?
Persoalan ini penting kerana kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dizahirkan dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.
Sambutan Maulidur Rasul juga perlu difahami sebagai ruang pendidikan dan muhasabah, bukan semata-mata acara perayaan.
Hukum Maulidur Rasul Menurut Mufti Wilayah
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa ulama berbeza pandangan tentang hukum sambutan ini.
Sebahagian ulama tidak mengharuskannya kerana ia tidak dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan tabi‘ tabiin.
Mereka turut bimbang sambutan tersebut disertai unsur berlebihan atau kemungkaran.
Dalam masa yang sama, terdapat ulama yang mengharuskan sambutan ini dan menganggapnya sebagai bid‘ah hasanah apabila pengisiannya selari dengan syariat.
Antara tokoh yang disebut termasuk Imam al-Suyuti, Ibn Hajar al-Haitami, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan beberapa ulama lain.
Maulidur Rasul Diharuskan Dengan Syarat
Setelah meneliti pandangan tersebut, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, mentarjihkan bahawa sambutan ini adalah harus dan termasuk dalam bid‘ah hasanah, dengan beberapa syarat.
Antaranya, majlis hendaklah mempunyai pengisian yang baik seperti tazkirah, ceramah, pembelajaran sirah dan selawat.
Pada masa yang sama, aurat wajib dijaga, percampuran lelaki dan perempuan dielakkan serta sebarang unsur maksiat tidak boleh dimasukkan dalam sambutan.
Pendekatan ini menjadikan sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, tetapi kesempatan untuk mengenali akhlak, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW dengan lebih dekat.
Dalil Maulidur Rasul Dan Puasa Isnin
Antara dalil yang digunakan oleh ulama yang mengharuskan sambutan ini ialah hadis ketika Nabi SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Baginda bersabda:
فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Maksudnya: “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku.” (Riwayat Muslim, no. 1162)
Hadis ini menunjukkan Nabi SAW mengaitkan puasa Isnin dengan nikmat kelahiran Baginda.
Namun, ia tidak bermaksud terdapat satu bentuk sambutan khusus yang diwajibkan atau disunnahkan pada tarikh tertentu.
Sebaliknya, umat Islam boleh mengisi bulan ini dengan amalan umum yang baik dan tidak bercanggah dengan syariat.
Maulidur Rasul Perlu Diisi Dengan Amalan Baik
Antara perkara yang boleh dilakukan sempena bulan kelahiran Baginda ialah memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah, membaca al-Quran, bersedekah dan mengadakan majlis ilmu.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan daripadanya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat.” (Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)
Maka, sambutan tersebut sepatutnya menghidupkan rasa cinta kepada Baginda melalui ilmu dan amalan, bukan sekadar perarakan, hiasan atau acara bermusim.
Malah, kecintaan itu perlu diteruskan dalam kehidupan seharian melalui akhlak yang baik dan usaha mengamalkan sunnah.
Maulidur Rasul Bukan Sekadar Sambutan Tahunan
Kesimpulannya, menurut tarjih Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, sambutan tersebut adalah harus dan termasuk bid‘ah hasanah sekiranya diraikan dengan pengisian yang baik serta mematuhi batas syarak.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika Maulidur Rasul ialah menjaga aurat, mengelakkan percampuran yang tidak dibenarkan, menjauhi maksiat, memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah serta bersedekah kepada golongan memerlukan.
Justeru, jadikan Maulidur Rasul sebagai titik permulaan untuk mengenali Rasulullah SAW dengan mendalam.
Penghayatan Maulidur Rasul diteruskan selepas bulan sambutan berakhir, melalui sunnah Baginda, Kecintaan kepada Nabi SAW dalam Maulidur Rasul perlu diterjemahkan melalui ibadah, akhlak dan kehidupan yang mencontohi ajaran Baginda.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: 12 Bacaan Selawat Nabi Sempena Maulidur Rasul, Lengkap Dengan Maksud & Kelebihannya
BACA JUGA: 10 Akhlak Rasulullah SAW Yang Makin Dilupakan, Ramai Muslim Mungkin Tak Sedar Sifat Ini Kian Hilang
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.