Al-Andalus bukan sekadar catatan sejarah yang lapuk dimakan zaman, sebaliknya ia adalah bukti kukuh bahawa umat Islam pernah menjadi mercu tanda ketamadunan dunia sebelum kegemilangan itu runtuh akibat perpecahan sesama sendiri.

Isu ini kembali diperkatakan apabila ramai warga maya mempersoalkan sama ada Sepanyol, tuan rumah dan juara Piala Dunia 2026, merupakan sebuah negara Islam.

al-andalus

Persoalan ini timbul kerana negara tersebut dilihat lantang memperjuangkan hak kemanusiaan, di samping mempunyai beberapa pemain berketurunan Islam dalam skuad kebangsaan mereka.

Menjawab persoalan ini, Ustaz Elyas Ismail berkongsi penjelasan menarik menerusi media sosial, membawa masyarakat kembali menyusuri sejarah tamadun Islam yang pernah bertapak megah di bumi Sepanyol.

Sejarah Kegemilangan Al-Andalus Yang Ramai Tidak Tahu

Sepanyol pada hari ini bukanlah sebuah negara Islam.

Namun hakikatnya, sebahagian besar Semenanjung Iberia pernah berada di bawah pemerintahan Islam selama hampir 800 tahun, bermula dari tahun 711 Masihi sehingga 1492 Masihi.

Zaman pemerintahan ini dikenali dengan nama Al-Andalus, meliputi kawasan penting seperti Cordoba, Granada dan Toledo.

Pada waktu itu, Al-Andalus menjadi antara tamadun paling maju di dunia, ketika benua Eropah masih tenggelam dalam Zaman Kegelapan.

Ketika Eropah lain masih bergelut dengan buta huruf dan kemunduran ilmu, tamadun ini telah melahirkan gabungan ilmu, iman, seni bina dan ekonomi yang begitu maju.

Universiti dan madrasah berkembang pesat, malah Universiti Cordoba dikatakan memiliki ratusan ribu naskhah manuskrip pada zaman kegemilangannya.

Tidak hairanlah ramai pelajar dari seluruh Eropah datang menuntut ilmu di kawasan ini ketika itu.

Tokoh-Tokoh Hebat Zaman Al-Andalus

Kegemilangan Al-Andalus turut melahirkan pelbagai tokoh Islam yang menyumbang besar kepada peradaban dunia.

Antaranya ialah Abu Al-Qasim Al-Zahrawi, yang dikenali sebagai bapa pembedahan moden.

Beliau mencipta lebih daripada 200 alat pembedahan dan hasil kajiannya menjadi rujukan utama di Eropah selama beratus tahun lamanya.

Selain itu, ramai lagi cendekiawan pada zaman itu yang menyumbang dalam bidang astronomi, matematik, pertanian dan seni bina, menjadikan tamadun tersebut sebagai pusat ilmu dunia pada zamannya.

Punca Kejatuhan Al-Andalus

Persoalannya, apakah yang menyebabkan tamadun sehebat Al-Andalus akhirnya runtuh?

Menurut perkongsian Ustaz Elyas Ismail, antara faktor terbesar kejatuhannya bukanlah kerana serangan musuh semata-mata, tetapi disebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri.

Berikut antara punca utama kejatuhan tamadun ini:

  • Perpecahan dan perbalahan sesama umat Islam
  • Peperangan saudara akibat perebutan kuasa dan takhta
  • Perasaan iri hati dan dengki antara pemimpin
  • Sesetengah pihak sanggup meminta bantuan musuh untuk mengalahkan saudara seagama sendiri

Apabila pergolakan dalaman ini berlaku secara berterusan, pihak musuh mengambil kesempatan untuk mengintai kelemahan tersebut, sehingga akhirnya berjaya menguasai seluruh Al-Andalus pada tahun 1492.

Pengajaran Daripada Kejatuhan Al-Andalus Untuk Umat Islam Hari Ini

Kisah kejatuhan Al-Andalus sepatutnya menjadi iktibar besar buat umat Islam pada hari ini, termasuklah rakyat Malaysia.

Walaupun berbeza pendapat, berbeza fahaman dan berlaku perselisihan, jangan sampai ia melemahkan kekuatan yang telah dibina dan diperjuangkan oleh generasi terdahulu.

Allah SWT sendiri telah mengingatkan umat Islam tentang bahaya perbalahan dan perpecahan menerusi firman-Nya:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Wa athee’ullaha wa rasoolahu wa la tanaza’oo fatafshaloo wa tadh-haba reehukum wasbiroo, innallaha ma’as-sabireen.

Maksudnya: “Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anfal, 8:46)

Sepertimana pepatah orang dahulu, “Gunung Tahan selalu didaki, Sungai Pahang sama direnangi, kalau kita bersatu hati, kerja susah jadi senang.”

Pengajaran itu wajar dijadikan cermin buat umat Islam hari ini, agar perpaduan sentiasa dijaga demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Sejarah Al-Andalus membuktikan bahawa kehebatan sesebuah tamadun bukan sahaja diukur pada ilmu dan kekuatan, tetapi juga pada keupayaan umatnya untuk kekal bersatu walau di tengah pelbagai perbezaan pendapat.

Sumber: Ustaz Elyas Ismail

BACA JUGA: Masjid Tayang Piala Dunia 2026 Sebelum Qiamulail, PU Salman Dedah Hukum Lihat Aurat Pemain Bola Di Skrin Besar

BACA JUGA: Padah Lafaz Cerai Sebab Bola, JAKIM Dedah Risiko Lafaz Taklik Selepas Argentina Kalah Piala Dunia 2026

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9