Sinki wuduk — dua patah perkataan ini mungkin kelihatan biasa, namun bagi sesetengah orang, ia membawa makna yang sangat besar.
Terutama buat mereka yang menahan sakit lutut, menghidap gout, warga emas, atau sesiapa sahaja yang sukar untuk tunduk ketika mengambil wuduk.
Kisah ini bermula bukan daripada seorang Muslim. Tetapi daripada seorang lelaki Cina, Lo Chang Yong, yang bukan beragama Islam.
Dalam satu perkongsian di Threads, beliau yang merupakan arkitek di WudukSink menulis ringkas namun menyentuh hati: “I’m not Muslim but I helped my Muslim friends to solve their Wuduk problems.”
Ayat itu sederhana. Tetapi maknanya sangat dalam.
Beliau melihat sendiri kesukaran rakan-rakan Muslimnya ketika mengambil wuduk.
Dari situlah lahirnya idea untuk menghasilkan sinki wuduk yang benar-benar memahami keperluan fizikal pengguna.
Sinki Wuduk Yang Memahami Keperluan Fizikal
Rekaan sinki wuduk yang dihasilkan bukan sekadar cantik atau moden.
Ia direka dengan kefahaman bahawa tidak semua orang mampu tunduk dengan selesa dan datang dengan pilihan reka bentuk yang benar-benar difikirkan mengikut keadaan fizikal pengguna.
Lo Chang Yong berkongsi bahawa beliau menghasilkan beberapa jenis sinki wuduk yang berbeza fungsi. Tiga daripadanya dikongsi di Threads:

Rekaan pertama dikenali sebagai DWI, yang pernah dilihat di restoran Rembayung oleh Khairul Aming.
Model ini dihasilkan oleh WuduAsia dan menggunakan brass faucet, kelengkapan paip berkualiti tinggi serta 3 kali proses glazing pada permukaan seramik
Ini menjadikan permukaannya lebih tahan lasak, tidak mudah kotor dan sangat sesuai untuk penggunaan kerap di masjid dan ruang awam.

Rekaan kedua dinamakan UniBody. Keistimewaannya, pengguna boleh duduk terus dan mengambil wuduk tanpa perlu berdiri atau membongkok.
Badannya diperbuat daripada Lucite PMMA material, bahan premium yang sama digunakan pada tab mandi berkualiti tinggi.
Ia kukuh, tahan air, tidak menyerap kotoran dan sangat selesa digunakan untuk tempoh lama.

Rekaan ketiga pula adalah versi Klasik dengan kerusi.
Model ini direka khas dengan tempat duduk terbina, membolehkan pengguna duduk dengan stabil ketika membasuh kaki.
Ia sangat membantu mereka yang mempunyai masalah lutut, sakit belakang, gout atau warga emas yang tidak mampu berdiri lama.
Ketiga-tiga sinki wuduk ini berkongsi tujuan yang sama iaitu memudahkan basuhan kaki tanpa perlu tunduk dan tanpa percikan air yang mengotorkan lantai.
Selain tiga rekaan utama yang dikongsi, semakan Waktu Solat Malaysia mendapati WudukSink rupanya mempunyai dua lagi model sinki wuduk yang direka dengan fungsi lebih khusus mengikut keadaan pengguna dan ruang.

Model pertama dikenali sebagai WudukSink Rapat, iaitu stesen wuduk modular yang direka dengan sangat teliti untuk memenuhi keperluan pelbagai kategori pengguna sama ada yang berdiri, duduk mahupun berkerusi roda.
Reka bentuknya bukan sahaja praktikal, malah tampak kemas dan menarik secara visual, menjadikannya sesuai untuk kawasan wuduk yang mempunyai penggunaan tinggi terutama ketika waktu solat berjemaah.
Permukaannya juga mudah dibersihkan dan memerlukan penyelenggaraan yang rendah, sekali gus membantu mengurangkan kos jangka panjang bagi pihak pengurusan masjid atau premis.

Satu lagi inovasi menarik ialah WudukSink EZ, yang memfokuskan kepada penjimatan air dan kemudahan penggunaan.
Dengan hanya menekan pedal, sistem ini akan mengaktifkan semburan kabus selama 12 saat yang cukup untuk membersihkan kaki dengan sempurna tanpa pembaziran air.
Rekaannya mesra semua peringkat umur termasuk warga emas dan kanak-kanak, serta boleh disambungkan terus kepada sistem air sedia ada untuk pemasangan yang pantas dan tidak rumit.
Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman jujur:
“Dulu aku duk tanya siapa la guna kerusi nak ambil wuduk. Sampai la gout attack — baru faham.”
Kadang-kadang, kita hanya memahami kesusahan itu apabila kita sendiri melaluinya.
Sinki Wuduk Dan Rahmat Islam Yang Memudahkan
Islam adalah agama yang tidak membebankan. Allah SWT berfirman:
يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ
“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.” (Al-Baqarah: 185)
Ayat ini bukan hanya berkaitan puasa, tetapi menjadi prinsip besar dalam syariat.
Termasuk dalam urusan bersuci. Rasulullah SAW juga bersabda:
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ
“Sesungguhnya agama itu mudah.” (Riwayat al-Bukhari)
Kewujudan sinki wuduk yang mesra lutut ini seakan-akan menterjemahkan ruh ayat dan hadis tersebut dalam bentuk fizikal yang boleh digunakan setiap hari.
Sinki Wuduk Untuk Warga Emas, Pesakit Dan Ruang Awam
Rekaan ini sangat sesuai ditempatkan di masjid, surau, hospital, pusat membeli-belah dan lapangan terbang.
Malah ada pengguna Threads memberi cadangan spontan:
“Bro, sell that to malls. Instant hit.”
Ini kerana sinki wuduk seperti ini bukan sahaja membantu individu, tetapi memudahkan pengurusan kebersihan ruang wuduk di tempat awam.
Air tidak memercik, lantai tidak licin, dan pengguna lebih selesa.
Bagi warga emas, ia memberi maruah. Mereka tidak perlu lagi meminta bantuan orang lain hanya untuk membasuh kaki ketika wuduk.
Sinki Wuduk Lahir Dari Pemerhatian, Bukan Teori
Menariknya, idea sinki wuduk ini lahir bukan dari teori atau kajian akademik.
Ia lahir daripada pemerhatian seorang sahabat terhadap sahabatnya.
Beliau melihat kesukaran itu berulang kali. Lalu beliau bertanya, “Bagaimana aku boleh bantu?”
Inilah nilai empati yang sangat besar. Walaupun bukan Muslim, beliau menghormati amalan wuduk dan mencari jalan untuk memudahkannya.
Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa.” (Al-Ma’idah: 2)
Tanpa disedari, beliau sedang melaksanakan ayat ini melalui inovasi sinki wuduk.
Martabat Ibadah
Wuduk bukan sekadar basuhan anggota. Ia persediaan menghadap Allah. Rasulullah SAW bersabda:
لَا يُحَافِظُ عَلَى الْوُضُوءِ إِلَّا مُؤْمِنٌ
“Tidaklah menjaga wuduk itu melainkan orang yang beriman.” (Riwayat Ibn Majah)
Apabila proses mengambil wuduk menjadi lebih mudah, lebih selesa dan tidak menyakitkan, seseorang itu lebih cenderung untuk menjaga wuduknya.
Di sinilah sinki wuduk memainkan peranan yang mungkin kita tidak sedari iaitu membantu seseorang terus menjaga hubungan dengan Allah tanpa halangan fizikal.
Sinki Wuduk Ajar Kita Tentang Ihsan
Kisah ini sebenarnya bukan hanya tentang produk. Ia tentang ihsan.
Tentang bagaimana seseorang yang tidak berkongsi akidah yang sama, tetap menghormati dan membantu memudahkan ibadah orang lain.
Ia membuatkan kita berfikir, adakah kita sendiri cukup peka terhadap kesusahan saudara seagama kita?
Kadang-kadang, solusi datang daripada mereka yang melihat masalah itu dari sudut yang berbeza.
Akhirnya, sinki wuduk ini menjadi simbol bahawa Islam itu mudah, praktikal dan sesuai untuk semua keadaan.
Dari orang muda hingga warga emas. Dari yang sihat hingga yang sakit.
Dan mungkin, selepas ini, kita tidak lagi memandang pelik kepada kerusi di tempat wuduk.
Kerana kita sudah faham, ia bukan kelemahan, tetapi kemudahan yang Allah izinkan.
BACA JUGA: Butik Siti Khadijah Buka Ruang Solat Bila Surau Penuh: Cuma Datang Berwuduk, Muat 5 Orang Satu Sesi
BACA JUGA: 5 Kesalahan Wuduk Yang Ramai Tak Sedar, Amalan Harian Kita Mungkin Tidak Sah Tanpa Kita Sedari
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!