
Sudah menjadi fitrah manusia untuk mencari jalan hidup yang terbaik, dan sebagai umat Islam, kita beruntung kerana Rasulullah SAW telah meninggalkan panduan yang lengkap melalui sunnahnya. Amalan harian baginda bukan sahaja mendekatkan diri kita kepada Allah, malah mendidik hati, membersihkan jiwa dan membentuk peribadi yang mulia. Walaupun tampak kecil dan mudah seperti memberi salam, bersugi, atau tidur dalam keadaan berwuduk, namun setiap satunya membawa pahala dan keberkatan yang besar dalam kehidupan.
Berikut merupakan 10 amalan harian sunnah Nabi Muhammad SAW yang mudah diamalkan:
- Dahulukan kaki kanan semasa pakai & kaki kiri saat tanggalkan selipar
- Selalu senyum
- Sunnah bangun dari tidur dan mengusap wajah dengan tangan
- Masuk ke tandas dengan kaki kiri dan keluar dari tandas dengan kaki kanan sambil membaca doa
- Membaca ‘Bismillah’ ketika hendak memakai pakaian
- Membaca ‘Bismillah’ ketika masuk ke dalam rumah dan membaca doa ketika hendak keluar dari rumah
- Mengucap salam dan bersalaman
- Berzikir
- Membaca Al-Quran
- Menunaikan solat berjemaah tepat pada waktunya
Islam tidak menuntut kesempurnaan serta-merta, sebaliknya menggalakkan konsistensi dalam kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (HR. Bukhari & Muslim).
Ini bermakna, walau kita hanya mampu melaksanakan satu atau dua sunnah sehari, ianya tetap memberi impak besar dalam perjalanan spiritual kita. Ia adalah bukti cinta kita kepada Rasullullah SAW dan bukti taat kepada Allah.
Lebih penting, amalan sunnah ini bukan hanya ibadah yang terhad di ruang masjid, malah boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Di rumah, tempat kerja atau ketika bersama keluarga. Ia memberi keseimbangan antara dunia dan akhirat, mendorong kita supaya tidak terpesong dalam arus dunia yang penuh dengan kelalaian. Dengan membudayakan sunnah dalam hidup, kita sebenarnya sedang menyuburkan jiwa dan memperkuatkan iman secara perlahan namun konsisten.
Dalam era moden yang penuh cabaran ini, sunnah baginda menjadi benteng yang melindungi kita dari tekanan duniawi. Ia mengingatkan bahawa hidup bukan hanya tentang pencapaian dunia, tetapi lebih besar lagi, untuk meraih redha Allah dan syurga-Nya. Maka, mulakanlah dengan sekecil-kecil sunnah. Mungkin ianya nampak remeh, namun di sisi Allah SWT, ianya adalah bukti ketaatan dan cinta yang besar.
Sumber: SirapLimau