Anak derhaka! Itulah label berat yang sering berlegar apabila seseorang mengambil keputusan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas.
Namun, adakah tindakan itu benar-benar dikira derhaka dalam Islam? Atau masyarakat sebenarnya terperangkap dalam persepsi tanpa melihat keadaan, kebajikan dan niat seorang anak?
Isu ini kembali menjadi perbualan hangat selepas satu hantaran tular daripada seorang wanita, Mdm Atira.

Beliau berkongsi bahawa ayahnya telah tiada, dan ibunya kini tinggal di sebuah rumah orang tua swasta yang selesa, lengkap dengan aktiviti agama, rakan sebaya, dan fasiliti yang baik.
“Ibu saya suka,” katanya, malah setiap malam beliau tetap mengambil ibunya pulang kerana jarak pusat jagaan itu dekat dengan rumah.
Namun, saudara-mara menjadikannya bahan perlecehan kononnya apabila hidup senang, dia meletakkan ibu di rumah orang tua. Lebih menyedihkan, mereka menuduhnya sebagai anak derhaka.
Kisah ‘anak derhaka’ dapat reaksi netizen
Kisah ini mengundang pelbagai reaksi netizen tentang label “anak derhaka”. Seorang pengguna, Bebeh Anadelia menulis, “Ibu saya suka! Titik. Tak perlu fikirkan netizen sebab ibu bahagia.”
Ada juga yang menjelaskan bahawa jika anak-anak bekerja seharian, meletakkan ibu bapa di pusat jagaan profesional pada waktu siang sama sahaja seperti menghantar anak kecil ke pusat asuhan. Lebih selamat, lebih terurus, lebih terjaga.
Nirwana Azman pula berkongsi, jika dirinya sudah tua nanti, beliau sendiri mahu ditempatkan di rumah orang tua yang baik, yang ada aktiviti, kawan-kawan, pengajian agama dan suasana menenangkan.
Hakikatnya, ramai warga emas tidak suka tinggal bersendirian di rumah. Sunyi, tiada orang berbual, tiada stimulasi mental, menyebabkan mereka cepat murung dan mudah nyanyuk.
Zaharizan GertakSagu menyebut, pusat jagaan sebenarnya menawarkan keselamatan dan aktiviti sementara menunggu anak pulang bekerja.
Liza Ahmad pula secara sinis menulis, “Ibu pun kata suka. Celah mana derhakanya? Yang sebenar, saudara puan tu jeles.”
Hal ini membuka ruang perbincangan yang lebih besar tentang maksud sebenar anak derhaka menurut Islam.
Dalam agama, derhaka bukan pada bentuk pengurusan, tetapi pada perbuatan menyakiti, menghina, merendahkan atau mengabaikan ibu bapa. Derhaka itu dosa besar. Rasulullah ﷺ bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ؟ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu dosa-dosa besar? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah dan derhaka kepada ibu bapa.” (Riwayat al-Bukhari)
Penjagaan profesional bukan ‘derhaka’
Namun para ulama juga menegaskan bahawa “mengabaikan kebajikan” ialah derhaka, bukan “mengurus dengan cara terbaik mengikut keupayaan”.
Jika pusat jagaan yang dipilih itu aman, selamat, penuh aktiviti agama, dan ibu gembira mana mungkin itu dianggap anak derhaka.
Bahkan itu satu bentuk ihsan, kerana ihsan bermaksud melakukan yang terbaik mengikut kemampuan.
Generasi moden berdepan realiti baharu: anak bekerja dari pagi hingga petang, ada tanggungjawab sendiri, tinggal di bandar besar, tiada ahli keluarga lain yang mampu menjaga di rumah.
Dalam fiqh moden, ulama menjelaskan konsep maslahah iaitu mencari manfaat terbesar dan mengelak mudarat.
Dalam keadaan tertentu, penjagaan profesional jauh lebih baik daripada membiarkan ibu bapa sendirian dan terdedah kepada bahaya.
Ulama kontemporari juga menyatakan bahawa meletakkan ibu bapa di pusat jagaan tidak haram selagi kebajikan, kasih sayang, dan hubungan tetap dijaga.
Islam menuntut kita menyantuni ibu bapa dengan penuh rahmah. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 23:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”
Jika “berbuat baik” itu dapat dicapai melalui tempat yang lebih selamat dan menenangkan untuk ibu bapa, maka itu juga termasuk ihsan.
Menjaga mereka tidak semestinya bermaksud mereka mesti berada di dalam rumah yang sama setiap masa; yang penting ialah kasih sayang, perhatian, ziarah, nafkah dan kebajikan tetap terpelihara.
Menjauhi label anak derhaka bukan sekadar bentuk fizikal penjagaan, tetapi menjaga hati dan maruah mereka.
Kisah seperti Mdm Atira sebenarnya mengajar masyarakat agar lebih memahami konteks anak derhaka. Setiap keluarga berbeza, kemampuan berbeza, keadaan berbeza. Islam tidak menghukum tanpa melihat realiti.
Selagi seorang anak menjaga kebajikan ibu bapa, melayani dengan baik, pulang mengambil mereka setiap malam, membawa gembira, dan memastikan mereka hidup bermaruah maka itu bukan anak derhaka, bahkan ia satu usaha ihsan yang patut dihargai.
Masyarakat perlu berhenti cepat melabel dan mula bertanya: adakah ibu itu bahagia? Adakah kebajikannya terjamin? Adakah hubungan kasih sayang tetap wujud?
Kerana pada akhirnya, yang ditanya di hadapan Allah bukanlah di mana ibu bapa ditempatkan, tetapi bagaimana seorang anak berlaku ihsan kepada mereka.
Artikel berkaitan: Sabar Menjaga Ibu Bapa Uzur: Ujian Air Mata Yang Angkat Darjat Anak, Jalan Paling Dekat Menuju Syurga
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!