
Fenomena anak muda yang memilih untuk meninggalkan pelajaran demi mengejar kerjaya sebagai ‘influencer’ atau pempengaruh kini semakin menjadi-jadi. Dengan tawaran pendapatan lumayan dan gaya hidup glamor yang ditonjolkan di media sosial, ramai remaja beranggapan bahawa ilmu formal tidak lagi penting.
Lebih membimbangkan, trend ini dilihat seolah-olah mengutamakan populariti dan perhatian berbanding pembinaan akhlak dan ilmu yang bermanfaat untuk masa depan.
Dalam Islam, menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan. Rasulullah SAW bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap orang Islam.”
(HR Ibnu Majah)
Ilmu bukan sahaja untuk mencari rezeki, tetapi juga menjadi cahaya yang membimbing kehidupan. Jika anak muda lebih mengutamakan kemasyhuran sementara berbanding ilmu yang berkekalan, mereka berisiko hilang arah dalam menghadapi cabaran hidup.
Menjadi ‘influencer’ tidaklah salah jika digunakan untuk kebaikan. Malah, ia boleh menjadi medan dakwah dan menyebarkan mesej positif.
Namun, masalah timbul apabila platform ini disalahgunakan untuk mempamerkan kemewahan, mempromosikan perkara yang sia-sia atau merosakkan moral.
Tanpa asas ilmu dan kefahaman agama, kemasyhuran yang dikejar hanya akan menjadi ujian yang membawa kepada kejatuhan.
Ibu bapa, guru, dan masyarakat perlu memainkan peranan mengingatkan anak muda bahawa rezeki bukan hanya datang dari media sosial.
Ilmu adalah pelaburan yang tidak akan rugi dan akan membantu mereka di dunia serta akhirat. Populariti boleh pudar, tetapi ilmu yang bermanfaat akan kekal menjadi cahaya hingga ke alam kubur.
Sumber: Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor