Pelawak popular Amir Raja Lawak baru-baru ini tampil menuntut bayaran tertunggak RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen. Dia menyatakan wang tersebut amat diperlukan demi membiayai rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.

Dalam Islam, seseorang itu mempunyai hak untuk memilih sama ada ingin menuntut agar haknya dipenuhi atau menarik balik tuntutan. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ

“Semua hak itu pasti akan dipenuhi (dibalas) pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk (kerana patah).”

(HR Muslim No: 4679)

Hadis ini menunjukkan kezaliman yang tidak selesai semasa didunia (tidak mendapat kemaafan atau balasan yang sepatutnya) akan terus berlanjutan dan akan diputuskan nanti di hari kiamat di hadapan Allah.

Sekecil manapun kezaliman itu. Bahkan kezaliman seekor kambing yang menanduk kambing yang lainnya akan diadili oleh Allah.

Jika seseorang itu berusaha dengan sabar dan tegas untuk menuntut haknya demi kebaikan keluarga, itu menunjukkan keimanan yang tinggi dan usaha ikhlas yang mendapat redha Allah SWT.

Amir telah menolak bayaran ansuran kecil seperti RM3,000 yang ditawarkan stesen televisyen tersebut sebelum ini kerana bimbang situasi lama berulang iaitu menerima sebahagian lalu disisihkan sebaik sahaja isu reda.

Tindakannya mencerminkan prinsip adil dan bijak dalam urusan duniawi, serta komitmen bahawa setiap hak yang tertunggak mesti dijelaskan segera bagi memelihara kelangsungan hidup keluarga dan amanah peribadi.

Kisah ini memberi pengajaran bahawa sebagai Muslim kita tidak seharusnya gentar menuntut hak, terutama ketika orang lain berhutang kepada kita.

Namun, tuntutan itu mesti disertai adab dan keimanan. Tegas tetapi bukan agresif, bersuara tetapi tetap penuh dengan adab.

Keberanian Amir bukan hanya tentang berani bersuara, tetapi berani menjaga martabat dan amanah sebagai anak dalam menempuhi ujian keluarga.

Sumber: OhBulan!