Fenomena memuja selebriti, sama ada artis tempatan, pelakon drama Korea atau penyanyi antarabangsa, semakin menjadi budaya dalam kalangan anak muda.

Ada yang sanggup berbelanja besar, menghafal semua lagu, menghadiri setiap konsert, bahkan menangis teresak-esak hanya kerana bertemu idola mereka.

Perkara ini kelihatan seperti hiburan biasa, namun apabila ia melampaui batas hingga mengabaikan perintah Allah, ia sudah menjadi satu bentuk ketaksuban yang berbahaya.

Islam tidak melarang kita untuk mengagumi seseorang, tetapi rasa kagum itu mesti berada dalam had yang dibenarkan syarak.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 165 mengingatkan bahawa ada manusia yang menjadikan selain Allah sebagai ‘tandingan’ yang dicintai seolah-olah mereka mencintai Allah.

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

Sikap ini boleh menjerumuskan seseorang kepada syirik kecil jika rasa cinta terhadap idola melebihi cinta kepada Allah dan Rasul.

Kita boleh lihat kesannya apabila ada yang sanggup meninggalkan solat demi menonton konsert, memuat naik kata-kata melampau seperti “dia segalanya bagi aku” atau “aku sanggup mati demi dia.”

Inilah bentuk fanatik yang ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW juga pernah bersabda,

“Janganlah kamu sekalian melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam, tetapi katakanlah: Hamba Allah dan rasul-Nya.” 

(Riwayat al-Bukhari, al-Darimi, Ahmad dan lain-lain)

Umat Islam perlu sedar bahawa idola sebenar kita ialah Rasulullah SAW, para sahabat, dan mereka yang taat kepada Allah.

Mengagumi artis tidak salah, tetapi ia tidak boleh sampai membuat kita melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Hiburan yang melalaikan dan membutakan hati hanyalah ujian dunia yang sementara.

Sumber: Harian Metro