(sumber: Freepik)


Dalam Islam, semangat memboikot produk atau syarikat yang menyokong kezaliman adalah satu bentuk solidariti dan tanda iman, selagi ia dilakukan dengan niat yang betul dan cara yang berhemah. Sejak tercetusnya semula serangan rejim Zionis ke atas bumi Palestin, kesedaran umat Islam semakin meningkat untuk tidak menyumbang kepada pihak yang menzalimi saudara Islam kita.

Namun, Rasulullah SAW mengajar bahawa setiap tindakan mesti dilaksanakan dengan hikmah, bukan emosi yang membabi buta. Islam tidak menolak tindakan tegas, tetapi ia menolak perpecahan sesama Muslim.

Boikot yang dilakukan tanpa ilmu dan adab hanya mengundang kekeliruan dan pertelingkahan. Ada yang saling menuduh, ada pula yang mencerca perniagaan tempatan tanpa usul periksa.

Sedangkan Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik

Ayat ini cukup menjadi panduan bahawa perjuangan dalam Islam bukan hanya tentang lantang bersuara, tetapi juga tentang menjaga maruah dan ukhuwwah sesama umat.

Isu Palestin bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan, tetapi isu aqidah dan umat. Maka, boikot yang dilakukan mestilah datang dengan kefahaman bahawa ia adalah salah satu bentuk tekanan ekonomi, bukan ruang untuk melampiaskan marah kepada sesiapa yang tidak sehaluan.

Jika benar kita ingin membantu, maka jangan hanya berhenti pada boikot. Sertakan juga dengan doa, sedekah, kesedaran dan perubahan diri ke arah yang lebih bertakwa.

Maka, boikot bukan sekadar “tidak membeli”, tetapi juga usaha membina kekuatan ekonomi dalam kalangan Muslim, menyokong perniagaan kecil yang tidak berkait dengan musuh Islam, dan menyampaikan mesej tegas kepada dunia bahawa kita tidak akan berdiam diri. Kita perlu berani bersuara, tetapi juga perlu matang dalam melaksanakannya. Islam itu agama yang tegas, tetapi dalam ketegasan itu tetap ada rahmat.


Sumber: SirapLimau