Dalam dunia pekerjaan moden, tekanan kerja yang berpanjangan sering membawa kepada “burnout” rasa letih melampau dari segi fizikal, mental, dan emosi. Namun, bagi seorang Muslim, risiko yang lebih besar bukan hanya pada kesihatan tubuh, tetapi juga pada kekuatan iman.

Apabila beban kerja membuatkan solat tergesa-gesa, zikir diabaikan, atau hati hilang ketenangan, itu tanda ‘burnout’ sudah mula memakan bahagian paling penting dalam hidup iaitu hubungan dengan Allah.


Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis:

إِنَّ لِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ‏

Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya.

(Riwayat al-Tarmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa menjaga keseimbangan adalah tuntutan Islam. Bekerja keras adalah ibadah jika diniatkan kerana Allah, tetapi apabila ia merosakkan kesihatan dan menjauhkan kita daripada ketaatan, ia sudah melampaui batas yang digariskan syariat.

Dalam menangani ‘burnout’, Islam mengajar konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dan tawakkal. Kesederhanaan memastikan kita tidak memaksa diri hingga merosakkan jiwa, manakala tawakkal mengingatkan bahawa rezeki bukan semata-mata hasil kerja tanpa henti, tetapi kurniaan Allah SWT.

Berehat, mengurus masa, dan menjaga solat tepat pada waktu adalah langkah yang seimbang antara urusan dunia dan akhirat.

Masyarakat hari ini perlu sedar bahawa ‘burnout’ bukan sekadar masalah kesihatan mental, tetapi juga ujian rohani. Jika dibiarkan, ia boleh melemahkan fokus dalam ibadah, mengurangkan rasa syukur, dan menumbuhkan rasa putus asa. Islam mengajar kita untuk mencari ketenangan melalui zikir, doa, dan mendekatkan diri kepada Allah, kerana di situlah terletak sumber kekuatan sebenar untuk menghadapi tekanan hidup.