Dalam kehidupan yang serba moden ini, ramai yang terperangkap dalam budaya berlebih-lebihan sehingga akhirnya menjerat diri sendiri.

Ada yang berbelanja melampau semata-mata mahu kelihatan mewah, ada pula yang berlumba-lumba mengejar gaya hidup materialistik hingga mengorbankan ketenangan hati.

Sedangkan, Islam menekankan bahawa kesederhanaan adalah kunci kebahagiaan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Furqan ayat 67:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Ayat ini menunjukkan bahawa kesederhanaan dalam berbelanja dan menjalani kehidupan adalah tanda orang yang beriman.

Hidup sederhana tidak bermakna hidup dalam kekurangan, sebaliknya ia mengajar kita mensyukuri nikmat yang ada.

Dengan bersikap sederhana, jiwa akan lebih tenteram kerana tidak terbeban dengan hutang, tidak iri hati dengan orang lain, serta tidak terikat dengan kemewahan yang sementara.

Rasulullah SAW sendiri hidup dengan penuh kesederhanaan walaupun Baginda seorang pemimpin besar.

Kesederhanaan juga melatih kita mengutamakan apa yang perlu, bukan semata-mata apa yang kita mahu.

Dengan itu, rezeki yang dikurniakan akan terasa lebih berkat. Hidup sederhana menjadikan seseorang lebih dekat kepada Allah kerana hatinya tidak lalai dengan dunia, sebaliknya lebih banyak mengingati akhirat.