Isu rumah tangga sering kali menjadi perhatian apabila pasangan gagal mengurus emosi dengan cara yang betul.

Tular di media sosial, seorang suami berdepan detik mencemaskan apabila isterinya bertindak di luar kawalan, menendang pintu serta menjerit hingga didengari jiran gara-gara dia memilih untuk melakukan ‘silent treatment’.

Walaupun diam dianggap sesetengah orang sebagai bentuk protes, hakikatnya tindakan sebegini boleh merosakkan keharmonian rumah tangga.

Dalam Islam, suami isteri dituntut untuk menyelesaikan perselisihan dengan cara yang betul dan komunikasi yang baik.

Rasulullah SAW bersabda bahawa tidak halal bagi seorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih daripada tiga hari, apatah lagi dalam konteks pasangan hidup yang menjadi teman sepanjang hayat.

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.” 

Riwayat Muslim (2560)

Diam terlalu lama bukanlah suatu penyelesaian, sebaliknya ia membuka ruang kepada syaitan untuk membisikkan kebencian di dalam diri.

Konflik rumah tangga sepatutnya dijadikan medan untuk melatih kesabaran dan menguatkan ikatan, bukan sebaliknya.

Dalam menghadapi situasi sebegini, Islam mengajar kita agar berlapang dada, saling memaafkan serta menasihati dengan kata-kata yang baik.

Seorang suami yang berperanan sebagai pemimpin keluarga harus mengutamakan komunikasi berhemah berbanding memilih jalan untuk berdiam diri yang melukakan.

Lebih membimbangkan, jika tindakan seperti ‘silent treatment’ berterusan, ia mampu mengundang keretakan rumah tangga dan menjejaskan keberkatan dalam perkahwinan.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 19 mengingatkan:

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Ayat ini menegaskan kewajipan suami untuk mengekalkan hubungan penuh kasih sayang walau dalam keadaan marah sekalipun.

Oleh itu, setiap pasangan haruslah menjadikan komunikasi yang jujur dan lembut sebagai asas perhubungan. Perasaan marah yang tidak terkawal dan diam yang berpanjangan tidak akan membawa kebaikan.

Sebaliknya, apabila masalah ditangani dengan penuh sabar serta berpaksikan ajaran Islam, rumah tangga akan terus dipelihara dalam rahmat Allah SWT, InshaAllah

Sumber: MStar