Dalam dunia yang penuh dengan perbandingan ini, kita mudah terpengaruh dengan apa yang orang lain ada. Kereta lebih besar, rumah lebih cantik, pasangan lebih romantik, rupa lebih menawan. Tanpa sedar, kita mula merasa kurang dengan apa yang kita miliki.

Namun, dalam Islam, ukuran nilai seseorang manusia itu bukan pada gaya hidupnya, tapi pada takwanya, pada ibadahnya, pada hatinya yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.”

(Riwayat Muslim, 2963)

Hadis ini mengajar kita untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, bukan sibuk membandingkan apa yang kita belum miliki.

Ramai yang nampak bahagia di luar, tapi kosong di dalam. Ada yang cantik dan kaya, tapi solatnya entah ke mana.

Sedangkan mungkin kita, walau sederhana rupa dan harta, tapi istiqamah dalam tahajud, jaga aurat, jaga lidah, itu yang Allah pandang tinggi.

Gaya hidup boleh dibeli, tapi keikhlasan dalam ibadah tidak boleh dibuat-buat.

Kita semua diuji dengan cara berbeza. Jangan ukur nilai diri dengan dunia, ukur dengan amal ibadah yang akan ditimbang di akhirat kelak.

Bila hati mula rasa resah melihat kelebihan orang lain, ingatkan diri:

“Mungkin dia menang di mata manusia, tapi belum tentu di sisi Allah.”

Maka, teruslah usaha menjadi hamba yang Allah dipandang tinggi disisiNya, bukan hanya dipandang tinggi oleh manusia.