Pengasas produk kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri bersama isterinya, Datin Seri Shahida, menitipkan pesanan penting kepada anak-anak mereka agar tidak bermegah dengan harta, sebaliknya rajin menabung kerana tidak mustahil suatu hari nanti si ayah sendiri mungkin berdepan kesusahan.
Perkongsian tersebut menjadi peringatan bahawa menyimpan adalah satu bentuk tanggungjawab dan persediaan untuk masa hadapan, bukannya sekadar amalan untuk menunjuk kemewahan.
Dalam Islam, amalan menabung dan merancang kewangan dianggap sebagai tindakan bijak yang menghormati rezeki serta amanah daripada Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah al-Hasyr, ayat 18:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.“
Ayat ini mengingatkan kita agar sentiasa bersedia dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah urusan kewangan, supaya tidak lalai terhadap tanggungjawab dunia dan akhirat.
Sebaliknya, sikap suka bermegah atau menunjuk-nunjuk secara terbuka tidak digalakkan dalam Islam, bahkan boleh menjerumuskan seseorang ke dalam sifat riak.
Lebih membimbangkan, ia mendorong sesetengah individu berhutang hanya kerana mahu menyaingi gaya hidup orang lain.
Pesanan Aliff Syukri dan Datin Shahida ini sebenarnya relevan untuk semua, bukan hanya buat anak-anak mereka sahaja. Ia mengajak kita agar hidup dengan rendah hati, mengurus kewangan dengan bijak, serta menjadikan simpanan sebagai bentuk persediaan dan perlindungan.
Semoga semua keluarga Muslim mengambil iktibar dengan mengutamakan kesederhanaan dan kesedaran bahawa rezeki adalah amanah yang perlu dijaga, InshaAllah.
Sumber: OhBulan!