Di era serba moden ini, peranan lelaki sering diletakkan pada kerangka kuasa dan dominasi, tetapi dalam Islam, menjadi lelaki adalah tentang amanah dan kepimpinan yang adil.
Lelaki adalah ketua keluarga, pelindung, pencari rezeki, dan pendidik rohani. Tugas ini bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak di akhirat.
Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.
(HR Bukhari & Muslim)
Ini jelas menunjukkan bahawa lelaki yang diberi peranan sebagai pemimpin keluarga perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh integriti. Bukan hanya menyediakan keperluan asas seperti makan dan tempat tinggal, tetapi juga memastikan ahli keluarga dijaga iman dan akhlaknya.
Namun, realitinya hari ini, ramai lelaki yang melarikan diri dari tanggungjawab. Baik sebagai suami, bapa, mahupun anak lelaki.
Ada yang meletakkan beban nafkah pada isteri, mengabaikan anak-anak, atau bersikap lepas tangan terhadap urusan rumah tangga.
Sedangkan dalam Islam, lelaki akan ditanya terlebih dahulu, bukan wanita iaitu tentang bagaimana dia memimpin dan melindungi keluarganya.
Lelaki juga harus menjadi contoh tauladan, bukan hanya dalam percakapan, tetapi dalam tindakan. Anak-anak belajar dari ayah mereka. Isteri berasa aman di bawah pimpinan suami yang bertaqwa.
Jika lelaki sendiri jauh dari solat, kasar dalam berkata-kata, dan lalai terhadap amanah, maka runtuhlah institusi yang sepatutnya dipimpin. Islam tidak mengajar lelaki menjadi ‘tuan’ di rumah, tetapi khalifah yang penuh belas kasihan dan bersifat adil.
Sudah tiba masanya untuk lelaki Muslim menilai semula peranan mereka. Jangan jadikan ‘lelaki’ hanya gelaran, tetapi buktikan melalui tanggungjawab, akhlak, dan kepimpinan.
Tugas ini berat, namun dengan ilmu, iman dan taqwa, ia mampu ditunaikan. Ingatlah, apa yang gagal kita pimpin hari ini, akan menjadi hujah yang akan menentang kita di hadapan Allah nanti.