
Mutakhir ini, riuh di media sosial dan kedai kopi perbualan mengenai penutupan dan lencongan puluhan jalan raya utama di ibu negara bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN. Keluh-kesah orang ramai sememangnya wajar; ada yang bimbang terlewat ke tempat kerja, ada yang mengira potensi kerugian perniagaan, dan pastinya, para penghantar dan e-hailing membayangkan cabaran menempuh kesesakan yang bakal berlaku. Rungutan ini adalah reaksi lumrah manusiawi terhadap sebarang gangguan kepada rutin harian. Tidak lupa juga ibubapa yang terpaksa menjalani PdPR untuk anak-anak mereka yang bersekolah di sekitar kawasan terbabit.
Namun, keresahan ini diburukkan lagi oleh salah faham bahawa ibu kota akan mengalami ‘lockdown’ atau perintah berkurung sepenuhnya. Pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jurucakap kerajaan, telah tampil menjelaskan bahawa ia bukanlah penutupan 24 jam, sebaliknya penutupan sementara dan berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi dan ketua-ketua negara. Persoalannya, di manakah kita sebagai sebuah masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai Islam harus meletakkan diri dalam dilema antara kesukaran individu dan kepentingan negara yang lebih besar ini?
Islam sebagai ad-din yang syumul (lengkap) tidak pernah membiarkan umatnya terkapai-kapai tanpa panduan. Dalam menguruskan pertembungan antara hak individu dan kemaslahatan umum, syariat Islam meletakkan satu prinsip asas yang terkandung dalam firman Allah SWT:
ﻳﱧﳌﺄﱁﻳﱲﻬﱺﺎ ﭐﻟﱋﺬﲘﻳﻦﱺ ﺀﱧﺍﻣﱧﻨﱨﻮﳒﺍﲯ ﺃﱁﻃﲔﻴﻌﱨﻮﺍﲯ ﭐﴦﴥﴤﱧ ﻭﱺﺃﱁﻃﲔﻴﻌﱨﻮﺍﲯ ﭐﻟﺮﲄﺳﱻﻮﻝﱔ ﻭﱺﺃﱂﻭﳖﻟﲘﻰ ﭐﵖﱓﵑﱁﻣﱦﺮﲌ ﻣﲘﻨﻜﱕﻢﱦﲨ ﻓﱁﺈﲐﻥ ﺗﱧﻨﱧ﮳ﺰﱺﻋﱹﺘﱨﻢﱦ ﻓﲘﻰ ﺷﱔﻰﱹﺀﲚ ﻓﱁﺮﱻﺩﱲﻭﻩﱨ ﺇﲐﻟﱁﻰ ﭐﴦﴥﴤﲘ ﻭﱺﭐﻟﺮﲄﺳﱻﻮﻝﲌ ﺇﲐﻥ ﻛﱕﻨﺘﱨﻢﱦ ﺗﱨﺆﱹﻣﲘﻨﱨﻮﻥﱧ ﺑﲐﭑﴦﴥﴤﲘ ﻭﱺﭐﻟﱀﻴﱧﻮﱹﻡﲌ ﭐﵖﱓﵕﺧﲔﺮﲌﲬ ﺫﱧ﮴ﻟﲘﻚﱔ ﺧﱺﻴﱦﺮﱿ ﻭﱺﺃﱁﺣﱹﺴﱺﻦﱻ ﺗﱧﺄﱀﻭﲌﻳﵝﱃﵗ ﳁﳋﳇﳀ
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa’: 59)
Ayat ini adalah paksi kepada kestabilan sosial dan pentadbiran negara. Ketaatan kepada Ulil Amri (pihak berkuasa atau pemerintah) adalah wajib selagi arahan mereka tidak membawa kepada kemaksiatan terhadap Allah SWT. Dalam konteks penutupan jalan ini, arahan yang dikeluarkan oleh PDRM adalah satu bentuk tadbir urus (pentadbiran) untuk menjamin keselamatan negara dan kelancaran acara berprofil tinggi. Ia bukan arahan untuk melakukan dosa, sebaliknya satu tindakan proaktif untuk menjaga maruah (imej) dan keamanan negara.
Di sinilah letaknya kepentingan memahami Maqasid al-Shariah (Objektif-objektif Syariah) dan Fiqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan). Para ulama silam seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Shatibi telah menggariskan bahawa tujuan utama syariat adalah untuk memelihara lima perkara asas: agama, nyawa (an-nafs), akal, keturunan, dan harta. Menjamin keselamatan para pemimpin dan delegasi antarabangsa adalah sebahagian daripada tanggungjawab memelihara nyawa dan menjaga kestabilan negara, yang merupakan komponen penting dalam Maqasid.
Dalam hal ini, kita berhadapan dengan satu kaedah fiqh yang amat relevan: Dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil masalih (Menolak kerosakan atau kemudaratan adalah lebih diutamakan daripada mengambil kemaslahatan atau kebaikan). Kesesakan lalu lintas dan kelewatan ke pejabat sememangnya satu mafsadah (kerosakan/kesukaran) pada tahap individu. Namun, ia adalah mafsadah kecil dan bersifat sementara. Bayangkan, jika berlaku sebarang insiden keselamatan, ancaman, atau gangguan diplomatik akibat kelemahan kawalan—ia akan membawa kepada mafsadah yang jauh lebih besar dan bencana kepada negara, merosakkan reputasi Malaysia di mata dunia dan berpotensi menggugat keselamatan awam.
Justeru, Fiqh al-Awlawiyyat mengajar kita untuk mendahulukan kepentingan yang lebih besar. Kepentingan menjaga keselamatan negara (maslahah ammah atau kepentingan awam) mesti diutamakan berbanding keselesaan peribadi yang terjejas buat seketika. Ini bukanlah bermakna Islam tidak mempedulikan kesusahan individu, tetapi Islam meletakkan satu neraca timbang yang adil demi kebaikan kolektif.
Tindakan pihak berkuasa ini juga selari dengan akhlaq (peribadi) seorang Muslim sebagai tuan rumah. Dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari & Muslim). Dalam konteks negara, para delegasi ASEAN ini adalah tetamu negara. Memuliakan mereka bukan sekadar dengan hidangan dan tempat tinggal, tetapi yang lebih utama adalah menjamin keselamatan dan kelancaran urusan mereka. Kesabaran kita menempuh kesesakan adalah sebahagian daripada sumbangan kita dalam memuliakan tetamu negara.
Oleh itu, marilah kita melakukan anjakan paradigma. Daripada melihat penutupan jalan ini sebagai satu bebanan semata-mata, eloklah kita memandangnya sebagai satu sumbangan kecil kita demi kejayaan negara. Ini adalah masanya untuk kita mengamalkan sabar yang sentiasa dianjurkan oleh agama. Pihak berkuasa telah pun memberi nasihat awal; maka rancanglah perjalanan, gunakan pengangkutan awam, atau manfaatkan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang digalakkan.
Kita tidak mahu menjadi sebuah masyarakat yang hanya gah pada pembangunan material, tetapi rapuh pada kematangan berfikir dan sahsiah. Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ini bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan atau PDRM, tetapi juga pada tahap disiplin, kesabaran, dan kefahaman kolektif rakyatnya yang didasari oleh ketaatan kepada Ulil Amri dan kefahaman mendalam tentang maslahah ammah.
Sumber artikel : Harian Metro
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat ⤵️
Website: https://www.waktusolat.digital/
Facebook:https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram:https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy