Setiap insan yang masih memiliki ibu bapa seharusnya merasa syukur kerana doa mereka merupakan antara doa yang paling mustajab di sisi Allah SWT.
Doa seorang ibu dan ayah mampu menjadi penggerak keberkatan hidup, membuka pintu rezeki, serta menjadi pelindung daripada musibah yang tidak disangka.
Namun, sering kali kita hanya menyedari nilai doa tersebut setelah mereka tiada lagi di sisi.
Islam mengajar bahawa redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Rasulullah SAW bersabda:
الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوِ احْفَظْهُ
Maksudnya: “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”.
Riwayat Ibn Majah (3663)
Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan orang tua (ibubapa). Kemurkaan Allah itu berlawanan dengan redha pada kemurkaan orang tua kerana Allah SWT memerintahkan kita agar mentaati ibubapa serta memuliakan sesiapa yang mentaati mereka.
“Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah.”
(Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6)
Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya kita memelihara hati ibu bapa, menghormati mereka, dan sentiasa berbakti selama hayat mereka masih ada.
Malangnya, ada yang leka mengejar urusan dunia sehingga lupa untuk meminta restu dan doa ibu bapa. Ada pula yang hanya menghubungi mereka ketika perlu, sedangkan setiap hari adalah peluang untuk berbuat baik.
Doa seorang ibu yang diucapkan tanpa disedari boleh menjadi sebab turunnya pertolongan Allah dalam kehidupan anak-anaknya.
Maka, rebutlah peluang ini selagi mereka masih bernyawa. Jadikan doa ibu bapa sebagai bekalan hidup, dan jangan sesekali abaikan mereka kerana kesibukan diri.
Ingatlah, apabila mereka pergi, hanya doa kita sebagai anak soleh dan solehah yang mampu menjadi penghubung antara dunia dan akhirat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan