
Kisah seorang pekerja Bangladesh yang memilih solat berjemaah lima waktu berbanding gaji penuhnya telah menyentuh hati ramai dan tular di media sosial. Subhanallah, di saat kita sering kalil alpa dengan urusan dunia, abang ini menunjukkan contoh yang luar biasa tentang keutamaan ibadah dalam hidupnya. Memang patutlah dia digelar ‘Bangla Green Flag’ oleh pengguna Threads, Zariff Southpaw – simbol keimanan dan keikhlasan yang jarang ditemui.
Zariff berkongsi betapa abang ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu di surau, malah turut istiqamah mengerjakan solat sunat Qabliyah dan Ba’diyah setiap hari. Masya-Allah, bukan calang-calang orang yang mampu istiqamah begitu!
Setiap kali bertemu, perbualan abang ini sentiasa berkisar tentang perkara kebaikan dan agama. Tiada langsung bicara kosong atau hal-hal yang melalaikan. Benarlah kata Zariff, “Di dunia ini dia hanyalah orang biasa, tetapi di akhirat nanti, Insya-Allah darjatnya luar biasa.”
Kisah abang ini menjadi peringatan buat kita semua. Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mengejar harta dunia hingga terlupa bekalan akhirat. Semoga kisah inspirasi ini menjadi penguat semangat untuk kita lebih mendahulukan Allah dalam setiap urusan, dan mengejar redha-Nya di dunia dan akhirat.
Credit: Beautiful Nara