Masjid Habib, masjid baharu yang mula dibuka kepada jemaah pada Jumaat (5 Disember 2025) lalu, kini menjadi sebutan masyarakat di Pulau Pinang dan seluruh negara.
Terletak di Tanjung Tokong, ia merupakan masjid keenam yang disempurnakan pembinaannya di negeri ini bagi tahun 2025.
Pembukaan Masjid Habib bukan sahaja menambah seri landskap Islamik daerah Timur Laut, malah mencerminkan komitmen masyarakat dan pihak korporat dalam mengimarahkan rumah Allah demi manfaat umat.
Masjid yang mampu memuatkan sehingga 1,600 jemaah ini dibina sepenuhnya melalui pembiayaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Dato’ Seri Meer Sadik Habib Mohamed, sebagai menunaikan hasrat ayahandanya Allahyarham Datuk Haji Habib Mohamed Abdul Latif.
Tanah pembinaannya telah didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sejak 2004, hasil penyerahan pemaju Eastern & Oriental Berhad (E&O).
Pada Disember 2022, majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak. Kini, hasil usaha ini berdiri megah Masjid Habib sebagai mercu tanda baharu.
Dalam tradisi Islam, membina masjid merupakan amal jariah terbesar. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ بَنَى لِلَّهِ مَسْجِدًا بَنَى اللَّهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, Allah akan binakan baginya rumah seumpamanya di dalam syurga.”
(Riwayat al-Bukhari)
Rekaan Masjid Habib curi tumpuan warganet
Sungguh besar ganjaran bagi mereka yang membangunkan ruang ibadah untuk umat.
Pembinaan Masjid Habib bukan sekadar projek fizikal, tetapi sebuah warisan amal yang mengalir pahalanya kepada pembina dan setiap yang beribadah di dalamnya.
Rekaan Masjid Habib menjadi antara faktor paling mencuri perhatian warganet.
Ramai pengguna media sosial memuji keindahan seni bina moden yang menggabungkan elemen tempatan, termasuk sentuhan ‘Jawi Peranakan’ yang mengetengahkan kekayaan budaya unik masyarakat Pulau Pinang.
Di Reddit, seorang pengguna bernama valvetrain menulis, “Beautiful structural design. Very fit, elegant and clean cuts. Facade is iconic.”

Tinjauan tempatannya pula menyaksikan rekaan kubah berbentuk berlian menjadi sebutan, seperti dikatakan oleh pengguna Threads, zu_je_neul: “Wahh, dia letak design berlian ke kat kubah dia? Cantikk!”

Seorang pengguna lain, svkomatcha, menyatakan bahawa Masjid Habib memiliki banyak bentuk geometri yang menjadikannya tampak futuristik.
Malah, ramai meletakkannya dalam senarai wajib singgah untuk solat apabila berkunjung ke Pulau Pinang.
Ada juga yang terinspirasi, seperti komen usahawan ojennaiwahhh_: “MasyaAllah, nak buat jugak. Dalam impian Ojen, semoga jadi realiti.”

Suasana malam di Masjid Habib turut dipuji. Pengguna Threads, mrs.iela, berkongsi, “SubhanAllah cantiknya view time malam. Rezeki dapat solat Maghrib kat sini, bilik persalinan muslimat dah macam hotel.”

Pengalaman pengguna wanita pula menyebut betapa selesanya tempat wuduk, telekung yang tersusun bahkan disediakan telekung Siti Khadijah menjadikannya mesra jemaah wanita.
Satu nasihat baik turut dikongsikan oleh ogyrozita_rashid, “Dah dibuat masjid yang cantik, akhlak kita pun biarlah cantik. Sangkut telekung elok-elok, susun selipar.”
ARTIKEL BERKAITAN: Hukum Datang Masjid Selepas Khutbah Jumaat: Dua Situasi Yang Tentukan Solat Sah Atau Tidak
Masjid Habib dilengkapi pelbagai kemudahan
Keselesaan kemudahan Masjid Habib dilengkapi bilik kuliah, bilik mesyuarat dan dewan serbaguna. Dewan ini berfungsi untuk program komuniti, majlis ilmu, perkahwinan dan pelbagai aktiviti keagamaan.
Ini selaras dengan peranan masjid sebagai pusat kehidupan umat. Sejak zaman Rasulullah ﷺ, masjid bukan hanya menjadi tempat solat, tetapi sebagai pusat perpaduan, pendidikan, kebajikan dan penggerak masyarakat.
Peranan masjid sebagai nadi kehidupan turut ditegaskan dalam al-Quran:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ
Maksudnya: “Di rumah-rumah ibadat yang Allah izinkan untuk ditinggikan dan disebut nama-Nya di dalamnya.” (Surah an-Nur: 36)
Dengan terbinanya Masjid Habib, ruang untuk memperbanyak zikir, solat, serta majlis ilmu semakin luas dan indah.
Dalam usaha merealisasikan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030), pembinaan Masjid Habib menjadi bukti bahawa pelaburan dalam syiar agama membawa impak besar kepada masyarakat.
Keindahan, keselesaan dan suasana spiritual yang dibina mampu menarik lebih ramai untuk kembali kepada masjid, khususnya generasi muda.
Masjid yang cantik bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk diimarahkan.
Setiap jemaah mempunyai peranan menjaga kebersihan, adab, dan menghormati ruang ibadah. Apabila masjid dipelihara dengan akhlak, ia menjadi penyeri hati dan penenang jiwa.
Akhirnya, Masjid Habib bukan sekadar bangunan baharu. Ia simbol kedermawanan, kesungguhan dan cinta terhadap agama. Ia menjadi ruang ibadah, ilmu dan ukhuwah yang bakal memayungi ribuan umat, insya-Allah.
Sumber: reddit, Threads, VOCKET, Habib Jewels Official
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!