Puasa bulan Rejab sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam setiap kali menjelang salah satu bulan haram yang dimuliakan Allah SWT.
Ada yang bersemangat memperbanyakkan ibadah, namun tidak kurang juga yang ragu-ragu sehingga timbul persoalan, adakah puasa bulan Rejab ini benar-benar sunnah atau sekadar amalan yang tidak mempunyai sandaran kukuh daripada al-Quran dan hadis sahih?
Hakikatnya, bulan Rejab termasuk dalam empat bulan haram yang disebut secara jelas oleh Allah SWT dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan dalam Kitab Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan yang dihormati.” (Surah al-Taubah: 36)
Bulan Rejab tergolong sebagai bulan haram, bersama Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Para ulama seperti Ibn ‘Abbas RA menjelaskan bahawa Allah SWT mengkhususkan bulan-bulan ini dengan kemuliaan tertentu, di mana amalan kebaikan digandakan pahalanya dan dosa pula lebih besar balasannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bulan Rejab Mulia & Perlu Dijaga, Dosa Maksiat Dalam Bulan Haram Lebih Berat Di Sisi Allah
Justeru, kemuliaan Rejab bukan rekaan budaya, tetapi berpijak pada asas syarak.
Namun, persoalan utama yang sering dibangkitkan ialah sama ada terdapat hadis sahih yang secara khusus menyebut kelebihan puasa bulan Rejab.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Tabyin al-‘Ajab menjelaskan bahawa tidak terdapat hadis sahih yang menetapkan kelebihan khusus puasa Rejab seperti bilangan hari tertentu atau ganjaran tertentu.
Kenyataan ini sering disalahfahami sehingga ada yang terus menghukum amalan puasa bulan Rejab sebagai bid‘ah.
Rasulullah puasa bulan Rejab
Sebenarnya, terdapat hadis sahih yang menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa secara umum tanpa mengkhususkan bulan tertentu, termasuk dalam bulan Rejab. Dalam riwayat Imam Muslim, Ibn ‘Abbas RA menyatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka Baginda tidak akan berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami menyangka Baginda tidak akan berpuasa.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Baihaqi memasukkan hadis ini dalam bab kelebihan bulan Rejab, menunjukkan bahawa puasa bulan Rejab termasuk dalam amalan sunnah secara umum, bukan ibadah yang direka.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa Rejab adalah sebahagian daripada bulan-bulan yang memiliki keutamaan. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:
مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ … وَرَجَبُ مُضَرَ
Maksudnya: “Daripada dua belas bulan itu, empat daripadanya adalah bulan haram… dan Rejab Mudhar.”
Hadis ini mengukuhkan kedudukan Rejab sebagai bulan yang dimuliakan dalam Islam.
Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat banyak hadis daif berkaitan kelebihan puasa bulan Rejab, termasuk hadis doa apabila masuk Rejab:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat al-Baihaqi – hadis daif)
Para ulama seperti Imam al-Nawawi dan Ibn al-Salah menjelaskan bahawa hadis daif boleh diamalkan dalam bab kelebihan amal selagi tidak palsu, tidak berkaitan akidah dan tidak diyakini sebagai sunnah yang pasti.
Oleh itu, berpuasa pada bulan Rejab dengan niat ibadah umum tidak bercanggah dengan syarak.
ARTIKEL BERKAITAN: Ajar Anak Lelaki Puasa Sunat Awal, Rahsia Kawal Nafsu & Bentuk Akhlak Remaja Muslim
Puasa bulan Rejab puasa sunat
Pandangan mazhab al-Syafi‘i juga jelas menyokong amalan puasa bulan Rejab. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa antara puasa sunat yang dianjurkan ialah puasa pada bulan-bulan haram, termasuk Rejab.
Imam al-Ramli pula menyebut bahawa Rejab antara bulan terbaik untuk berpuasa selepas Ramadan.
Imam al-Syafi‘i sendiri menegaskan bahawa mengkhususkan hari tertentu untuk ibadah adalah baik, selagi tidak dianggap wajib.
Ini menunjukkan kebimbangan sebenar ulama bukan pada amalan, tetapi pada salah faham masyarakat yang mungkin menganggapnya sebagai kewajipan.
Kesimpulannya, puasa bulan Rejab bukan bid‘ah, sebaliknya termasuk dalam amalan sunnah secara umum yang dianjurkan oleh para ulama berdasarkan dalil sahih dan kefahaman fuqaha.
Apa yang perlu dijaga ialah niat, kefahaman dan adab dalam beramal, agar ibadah yang dilakukan benar-benar mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan mencetuskan perbalahan dalam kalangan umat Islam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!