Solat berjemaah bersama suami di rumah mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pasangan, tetapi masih ramai isteri yang tertanya-tanya di manakah sebenarnya kedudukan yang betul ketika menjadi satu-satunya makmum.

Adakah isteri perlu berdiri di sebelah kiri suami?

Atau perlu berada di sebelah kanan seperti seorang lelaki yang menjadi makmum kepada imam?

Mungkin ada juga yang selama ini terbiasa melihat isteri berdiri di sebelah kiri suami ketika solat berjemaah, lalu menyangka itulah kedudukan yang sepatutnya.

Menurut Mazhab Syafi‘i, jika seorang isteri menjadi satu-satunya makmum kepada suaminya, kedudukannya adalah di belakang suami yang menjadi imam, bukan di sebelah kiri atau kanan.

Solat Berjemaah Dengan Suami, Isteri Berdiri Di Belakang

Imam al-Rafi‘i menjelaskan dalam al-Syarh al-Kabir bahawa apabila seorang lelaki menjadi imam kepada wanita, wanita tersebut berada di belakangnya.

Beliau menyatakan:

وَإِنْ لَمْ يَحْضُرْ مَعَهُ إِلَّا الْإِنَاثُ يَصُفُّهُنَّ خَلْفَهُ سَوَاءٌ الْوَاحِدَةُ وَالِاثْنَتَانِ وَالثَّلَاثُ فَصَاعِدًا

Maksudnya: “Jika tidak hadir bersamanya (imam lelaki) melainkan wanita-wanita, maka hendaklah mereka berdiri dalam saf di belakangnya, sama ada seorang wanita, dua, tiga dan seterusnya.”

Jadi jika solat berjemaah hanya melibatkan suami dan isteri, susunannya mudah:

Suami sebagai imam berada di hadapan.

Isteri sebagai makmum berada di belakang suami.

Isteri tidak mengambil kedudukan di sebelah kanan sebagaimana seorang makmum lelaki dan bukan juga di sebelah kiri imam.

Walaupun Solat Berjemaah Dengan Suami Sendiri, Hukumnya Sama

Mungkin timbul persoalan, bukankah mereka pasangan suami isteri dan bukannya lelaki serta wanita ajnabi?

Hubungan tersebut tidak mengubah susunan saf solat berjemaah.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan dalam Tuhfah al-Muhtaj:

وَكَذَا لَوْ حَضَرَ امْرَأَةٌ أَوْ نِسْوَةٌ فَقَطْ فَتَقِفُ هِيَ أَوْ هُنَّ خَلْفَهُ، وَإِنْ كُنَّ مَحَارِمَهُ لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: “Begitu juga jika seorang wanita atau beberapa wanita sahaja hadir, maka seorang wanita itu atau mereka hendaklah berdiri di belakangnya, sekalipun mereka ialah mahramnya, kerana mengikuti tuntunan.”

Malah, Imam al-Ramli menyebut secara khusus kedudukan seorang isteri dalam Nihayah al-Muhtaj:

وَكَذَا لَوْ حَضَرَ امْرَأَةٌ وَلَوْ مَحْرَمًا أَوْ زَوْجَةً أَوْ نِسْوَةٌ تَقُومُ أَوْ يَقُمْنَ خَلْفَهُ

Maksudnya: “Begitu juga jika hadir seorang wanita, walaupun mahram atau isteri, atau beberapa orang wanita, maka dia atau mereka berdiri di belakangnya.”

Jelas bahawa dalam solat berjemaah suami isteri, status sebagai isteri tidak menyebabkan kedudukannya berubah ke kiri atau kanan imam.

Hadis Tunjukkan Wanita Berada Di Belakang Ketika Solat Berjemaah

Susunan ini turut mempunyai sandaran daripada hadis Anas bin Malik RA.

Anas RA menceritakan bahawa neneknya, Mulaikah, pernah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW.

Selepas Baginda makan, Rasulullah SAW mengajak mereka mendirikan solat.

Anas RA berkata:

فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَفَفْتُ أَنَا وَالْيَتِيمُ وَرَاءَهُ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berdiri, lalu aku dan seorang anak yatim berdiri dalam satu saf di belakang Baginda, manakala wanita tua itu berada di belakang kami. Kemudian Rasulullah SAW solat bersama kami dua rakaat, lalu Baginda beredar.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi antara sandaran para ulama dalam menentukan susunan lelaki dan wanita ketika solat berjemaah.

Jika hanya suami dan isteri, maka kedudukannya:

SUAMI (IMAM)
↓
ISTERI (MAKMUM)

Bukan:

ISTERI — SUAMI

sama ada isteri berada di kiri atau kanan.

Kalau Selama Ini Isteri Berdiri Di Sebelah Kiri Suami?

Bagaimana jika pasangan selama ini melakukan solat berjemaah dengan isteri berdiri di sebelah kiri suami kerana menyangka itulah kedudukan yang betul?

Tidak bermakna solat mereka terus menjadi batal hanya disebabkan kedudukan tersebut.

Berdasarkan perincian fuqaha, jika wanita berdiri di kiri atau kanan imam lelaki, solat masih sah tetapi kedudukan tersebut menyalahi susunan saf yang dituntunkan dan dihukumkan makruh.

Jadi tidak perlu menganggap solat berjemaah terdahulu semuanya perlu diulang hanya kerana isteri tersalah mengambil posisi.

Apa yang penting, selepas mengetahui kedudukan yang betul, pasangan boleh membetulkan susunan saf pada solat seterusnya.

Kesimpulannya, apabila suami dan isteri solat berjemaah berdua, suami berdiri di hadapan sebagai imam manakala isteri berdiri di belakang sebagai makmum.

Bukan sebelah kiri dan bukan sebelah kanan.

Mudah untuk diingati: jika seorang lelaki menjadi makmum, dia berdiri di kanan imam.

Jika isteri seorang sahaja menjadi makmum kepada suaminya, dia berdiri di belakang.

Sumber: Facebook Menjawab Kemusykilan Agama

BACA JUGA: Solat Berjemaah Di Rumah Bersama Isteri, Adakah Dapat Pahala Seperti Di Masjid? Dr Zulkifli Al-Bakri Rungkai Ganjaran Sebenar

BACA JUGA: Sah Ke Solat Berjemaah Jika Makmum Solat Fardu, Imam Solat Qada? Ustazah Asma’ Jelaskan Syaratnya

BACA JUGA: Kenapa Bacaan Imam Dalam Solat Berjemaah Zohor & Asar Perlahan, Tapi Subuh, Maghrib & Isyak Kuat? Ini Rahsianya…

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.