Menjelang hujung tahun, ramai usahawan kecil, TikToker, influencer (pempengaruh) dan peniaga atas talian mula membuat penutupan akaun perniagaan.
Namun dalam kesibukan mengira untung rugi, masih ramai yang terlepas pandang satu kewajipan besar dalam Islam iaitu zakat perniagaan.
Persoalan yang sering timbul, adakah hasil pendapatan influencer dan peniaga kecil wajib dizakatkan, dan bagaimana cara pengiraannya yang betul menurut syarak?
Hakikatnya, selagi sesuatu pendapatan itu terhasil daripada aktiviti perniagaan yang halal, sama ada menjual produk fizikal, servis, kandungan digital, kolaborasi berbayar atau komisen pemasaran, ia termasuk dalam kategori zakat perniagaan.
Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) daripada hasil usaha kamu yang baik-baik.” (Surah al-Baqarah: 267)
2 syarat utama zakat perniagaan
Dalam Islam, kewajipan zakat perniagaan tertakluk kepada dua syarat utama iaitu haul dan nisab.
Haul merujuk kepada tempoh pemilikan harta selama setahun hijrah atau setahun perakaunan perniagaan.
Bagi kebanyakan peniaga di Malaysia, tempoh ini lazimnya diselaraskan dengan tahun kewangan perniagaan, contohnya dari 1 Januari hingga 31 Disember. Apabila tempoh ini lengkap, maka penilaian zakat perlu dibuat.
Nisab pula ialah paras minimum nilai harta perniagaan yang mewajibkan zakat. Mengikut ketetapan Lembaga Zakat Selangor, nisab zakat perniagaan adalah bersamaan nilai 85 gram emas.
Sebagai contoh, bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, nilai nisab ditetapkan sekitar RM27,696. Jika nilai harta perniagaan bersih melebihi jumlah ini selepas cukup haul, maka zakat wajib dikeluarkan.
Namun satu perkara penting yang sering ditekankan oleh para asatizah dan perunding kewangan Islam ialah sumber perniagaan mestilah halal. Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan tidak menerima melainkan yang baik.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, peniaga perlu memastikan tiada unsur riba, penipuan, judi, rasuah atau promosi perkara haram dalam perniagaan sebelum mengira zakat perniagaan.
Guna kalkulator rasmi zakat perniagaan Lembaga Zakat Selangor
Bagi memudahkan pengiraan, Lembaga Zakat Selangor menyediakan kalkulator rasmi zakat perniagaan di laman web mereka.
Melalui kaedah ini, peniaga hanya perlu memasukkan maklumat harta semasa perniagaan.
Berikut adalah langkah pengiraan zakat perniagaan di laman web Lembaga Zakat Selangor yang dikongsikan perunding kewangan, Financial Faiz.
Langkah 1: Kira Tunai Di Tangan & Dalam Bank
Langkah pertama ialah melihat jumlah tunai semasa yang dimiliki oleh perniagaan pada tarikh tutup akaun.
Ini merangkumi semua wang tunai yang ada di tangan serta baki dalam akaun bank perniagaan.
Wang ini dianggap aset perniagaan kerana ia masih berada dalam kawalan peniaga dan berpotensi digunakan untuk operasi atau keuntungan seterusnya.
Sebagai contoh, jika pada 31 Disember anda mempunyai RM8,000 dalam akaun bank perniagaan dan RM2,000 tunai di tangan, maka jumlah tunai perniagaan ialah RM10,000.
Langkah 2: Kira Hutang Pelanggan Yang Belum Diterima
Seterusnya, ambil kira hutang pelanggan iaitu bayaran yang sepatutnya diterima daripada pelanggan bagi perkhidmatan atau barang yang telah diserahkan.
Ini termasuk invois yang telah dikeluarkan dan bayaran kolaborasi atau projek yang telah siap tetapi masih belum diterima.
Namun, hanya hutang yang berkemungkinan besar akan dibayar sahaja diambil kira. Jika ada hutang yang hampir mustahil dituntut atau pelanggan sudah hilang, ia tidak perlu dimasukkan.
Contohnya, jika pelanggan masih beroperasi dan tempoh bayaran belum tamat, jumlah itu dikira sebagai aset.
Langkah 3: Kira Nilai Stok Barang Jualan (Jika Ada)
Langkah ini hanya terpakai kepada peniaga yang menjual barangan fizikal. Stok barang jualan merujuk kepada inventori yang masih ada dan bertujuan untuk dijual, bukan untuk kegunaan peribadi.
Nilai stok diambil berdasarkan harga kos semasa, bukan harga jualan. Contohnya, jika anda menjual kasut dan masih mempunyai 50 pasang kasut dengan kos RM100 sepasang, maka nilai stok ialah RM5,000.
Bagi perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti influencer, pencipta kandungan, jurulatih atau konsultan, langkah ini boleh diabaikan kerana tiada stok fizikal.
Jumlahkan Semua Aset Semasa
Selepas melengkapkan tiga langkah ini, jumlahkan: tunai + hutang pelanggan + stok barang (jika ada).
Inilah jumlah aset semasa perniagaan sebelum penolakan dibuat.
Penolakan Yang Dibenarkan Sebelum Kira Zakat
Langkah 4: Tolak Hutang Kepada Pembekal
Islam memberi keadilan dengan membenarkan penolakan hutang yang perlu dibayar. Hutang pembekal merujuk kepada invois yang telah diterima untuk barang atau servis perniagaan tetapi masih belum dijelaskan.
Hanya hutang yang sudah pasti perlu dibayar sahaja ditolak, bukan komitmen jangka panjang atau hutang peribadi yang tidak berkaitan dengan perniagaan.
Langkah 5: Tolak Tunggakan Kos Operasi
Seterusnya, tolak kos operasi yang masih tertunggak dan berkaitan secara langsung dengan perniagaan.
Ini termasuk sewa premis, gaji pekerja, bil utiliti dan kos lain yang telah digunakan tetapi belum dibayar pada tarikh tutup akaun.
Kos ini ditolak kerana ia bukan keuntungan sebenar, sebaliknya komitmen yang perlu dilunaskan.
Langkah 6: Tolak Cukai Perniagaan Yang Belum Dibayar
Cukai perniagaan seperti SST yang telah dikenakan tetapi belum dibayar juga boleh ditolak.
Contohnya, jika SST perlu dibayar setiap dua bulan dan amaun tersebut masih belum dilangsaikan, ia dibenarkan sebagai penolakan.
Ini kerana wang tersebut bukan milik mutlak peniaga, sebaliknya amanah yang perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.
Langkah Akhir: Kira Zakat Perniagaan
Selepas semua penolakan dibuat, anda akan memperoleh nilai bersih harta perniagaan.
Ibadah sucikan harta, jiwa
Kewajipan ini bukan sekadar tanggungjawab kewangan, tetapi ibadah yang menyucikan harta dan jiwa. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.” (Riwayat Muslim)
Zakat menjadi sebab keberkatan, ketenangan dan kelangsungan rezeki yang berpanjangan.
Sebagai kesimpulan, influencer, TikToker dan peniaga kecil tidak terkecuali daripada kewajipan zakat perniagaan.
Menjelang hujung tahun, inilah masa terbaik untuk bermuhasabah dan melunaskan tanggungjawab kepada Allah dan masyarakat.
Jika berniaga di Selangor, bayarlah melalui Lembaga Zakat Selangor, manakala bagi negeri lain, salurkan zakat kepada institusi zakat negeri masing-masing agar agihan dilakukan dengan amanah dan teratur.
Sumber: Financial Faiz, Lembaga Zakat Selangor
ARTIKEL BERKAITAN: Pembiayaan Mikro iTEKAD BangKIT Bank Islam Tiada Kadar Keuntungan, Pinjam RM20,000 Bayar RM20,000
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!