Qada solat tidak wajib dilakukan hanya kerana kita tiba-tiba rasa solat yang telah dikerjakan dahulu mungkin tidak sempurna.
Ada orang selepas bertahun-tahun menunaikan solat mula terfikir, “Betul ke solat aku selama ini? Cukup sempurna ke? Perlu ke aku qada semuanya?”
Rasa takut ibadah tidak sempurna menunjukkan kita mengambil berat tentang solat.
Namun jangan sampai keraguan menyebabkan seseorang membebankan dirinya dengan mengulang semua solat tanpa sebab yang pasti.
Jawapan ringkasnya, jika sekadar ragu-ragu, tidak wajib qada.
Qada Solat Tak Wajib Kalau Hanya Rasa Tak Sempurna
Bezakan antara solat yang tidak sempurna dengan solat yang tidak sah.
Jika seseorang yakin telah mengerjakan solat dengan memenuhi rukun dan syarat sahnya, kemudian selepas beberapa ketika timbul rasa ragu-ragu tentang kesempurnaannya, dia tidak perlu melakukan qada solat.
Dalam fiqh terdapat kaedah:
الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa keyakinan yang telah wujud tidak boleh dihapuskan hanya disebabkan syak yang datang kemudian.
Contohnya, seseorang sudah selesai solat Zohor.
Beberapa jam kemudian dia terfikir, “Aku baca al-Fatihah sempurna ke tadi?”
Jika sekadar syak tanpa kepastian bahawa rukun telah ditinggalkan, jangan terus qada solat.
Tak Perlu Qada Solat, Banyakkan Pula Solat Sunat
Jika yang dirisaukan ialah kekurangan dalam kesempurnaan ibadah seperti kurang khusyuk atau kekurangan lain yang tidak membatalkan solat, antara amalan yang boleh diperbanyakkan ialah solat sunat.
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW mengenai amalan pertama yang akan dihisab pada hari akhirat:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang akan dihisab pada hari kiamat ialah solatnya. Jika baik, maka dia berjaya dan selamat. Jika terdapat kekurangan pada solat fardunya, Allah berfirman: Lihatlah sama ada hamba-Ku mempunyai amalan sunat. Maka disempurnakan dengan amalan sunat itu apa yang kurang daripada amalan fardunya.”
(Riwayat al-Tirmizi, 413)
Hadis ini menunjukkan kelebihan solat sunat dalam menyempurnakan kekurangan amalan fardu.
Namun ia bukan alasan untuk tidak melakukan qada solat yang memang diketahui tidak sah.
Bila Qada Solat Memang Wajib Dilakukan?
Keadaannya berubah apabila seseorang bukan lagi sekadar ragu-ragu, tetapi yakin terdapat kecacatan yang menyebabkan solatnya tidak sah.
Contohnya, selepas solat Zohor seseorang benar-benar teringat bahawa dia hanya menunaikan dua rakaat dan solat tersebut telah selesai tanpa diperbetulkan.
Begitu juga jika seseorang kemudian yakin bahawa ketika solat dia sebenarnya masih berhadas besar dan belum melakukan mandi wajib.
Dalam keadaan kedua, solat tidak sah kerana suci daripada hadas merupakan syarat sah solat.
Mufti WP menjelaskan bahawa solat yang dilakukan dalam keadaan berjunub tanpa mandi wajib tidak sah dan perlu diqada.
Begitu juga orang yang terlupa mengambil wuduk kemudian menunaikan solat.
Apabila dia mengetahui perkara itu, solat tersebut perlu dilakukan semula.
Jadi qada solat diperlukan apabila memang diketahui kewajipan solat sebelumnya belum tertunai secara sah.
Qada Solat Kerana Yakin, Bukan Kerana Was-Was
Mudahnya, gunakan satu panduan: jangan samakan “rasa tak sempurna” dengan “yakin tidak sah”.
Jika cuma terlintas, “Entah betul ke solat aku dulu,” jangan jadikan perasaan itu alasan untuk qada solat bertahun-tahun tanpa asas.
Sebaliknya, teruskan menjaga solat fardu dan perbanyakkan solat sunat seperti rawatib, Dhuha, Tahajud dan Witir.
Tetapi jika seseorang benar-benar yakin solat tertentu tidak sah kerana meninggalkan rukun atau syarat sah, maka jangan pula menggunakan solat sunat sebagai pengganti.
Qada solat tersebut perlu dilakukan.
Kesimpulannya, qada solat bukan dilakukan semata-mata kerana kita rasa ibadah terdahulu kurang sempurna. Solat yang telah diyakini sah tidak berubah menjadi batal hanya kerana keraguan yang muncul kemudian.
Banyakkan solat sunat untuk menampung kekurangan amalan, tetapi jika benar-benar yakin solat fardu tidak sah, tunaikan qada solat yang berkenaan.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Boleh Ke Solat Qada Hanya Baca Bacaan Wajib? Ini Panduan Ringkas Menurut Mazhab Syafie
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.