Surah al-Taubah menjadi satu-satunya surah dalam al-Quran yang tidak dimulakan dengan lafaz بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, berbeza dengan surah-surah lain yang biasa kita baca.
Bagi mereka yang membaca al-Quran dari awal hingga akhir, perbezaan ini jelas kelihatan selepas tamat Surah al-Anfal. Terus sahaja bermula ayat pertama Surah al-Taubah tanpa Basmalah di antaranya.
Persoalannya, kenapa?
Surah al-Taubah juga dikenali sebagai Bara’ah dan beberapa nama lain.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, surah ini diturunkan di Madinah dan antara kandungannya ialah mengenai golongan Musyrikin yang melanggar perjanjian dengan umat Islam serta pendedahan terhadap perilaku golongan munafik.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menghimpunkan lima pandangan mengenai sebab Basmalah tidak diletakkan pada permulaan Surah al-Taubah.
Kenapa Surah Al-Taubah Tak Ada Bismillah?
1. Berkaitan Pemutusan Perjanjian Dengan Musyrikin
Pandangan pertama berkait dengan kebiasaan masyarakat Arab ketika itu.
Apabila mereka mempunyai perjanjian dengan sesuatu kaum kemudian mahu memutuskannya, surat pemutusan tersebut tidak dimulakan dengan Basmalah.
Surah al-Taubah pula membawa pengisytiharan berhubung pemutusan perjanjian dengan golongan Musyrikin yang melanggar perjanjian dengan umat Islam.
Nabi SAW turut mengutuskan Saidina Ali RA untuk membacakan surah tersebut kepada mereka tanpa memulakannya dengan Basmalah.
2. Kandungannya Hampir Dengan Surah Al-Anfal
Pandangan kedua dinukilkan daripada Saidina Uthman RA.
Ketika ayat al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW akan memanggil penulis wahyu dan menunjukkan kedudukan ayat serta surah tersebut.
Namun, terdapat persamaan dari segi kandungan antara Surah al-Anfal dengan Surah al-Taubah.
Menurut riwayat yang dinukilkan, Nabi SAW tidak menjelaskan kepada Saidina Uthman RA sama ada kedua-duanya merupakan satu surah atau dua surah berasingan.
Atas sebab itu, kedua-duanya diletakkan berdekatan dan tidak dipisahkan dengan Basmalah.
3. Ada Pandangan Mengaitkannya Dengan Surah Al-Baqarah
Pandangan ketiga pula menyebut terdapat riwayat yang mengaitkan Surah al-Taubah dengan Surah al-Baqarah dari sudut kesinambungan atau persamaan tertentu.
Said bin Jubair juga dinukilkan menyatakan bahawa Surah al-Taubah mempunyai persamaan dengan Surah al-Baqarah.
Pandangan ini termasuk antara beberapa penjelasan yang dihimpunkan Imam al-Qurtubi mengenai ketiadaan Basmalah pada awal surah tersebut.
4. Berlaku Perbezaan Pandangan Ketika Pengumpulan Al-Quran
Pandangan keempat menyebut berlaku perbezaan dalam kalangan sahabat ketika al-Quran dihimpunkan pada zaman Saidina Uthman RA.
Sebahagian berpandangan Surah al-Anfal dan Surah al-Taubah merupakan satu surah, manakala sebahagian lain menganggap kedua-duanya sebagai dua surah berasingan.
Menurut pandangan yang dinukilkan Imam al-Qurtubi, Saidina Uthman RA mengambil jalan dengan tidak mencantumkan kedua-duanya sebagai satu surah, tetapi pada masa sama tidak meletakkan Basmalah di antara kedua-duanya.
5. Bismillah Membawa Rahmat, Surah Al-Taubah Membawa Ketegasan
Pandangan kelima mungkin antara yang paling biasa kita dengar.
Imam al-Qurtubi menukilkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA yang bertanya kepada Saidina Ali RA mengapa Basmalah tidak ditulis pada permulaan Surah al-Taubah.
Menurut riwayat tersebut, Saidina Ali RA menjelaskan bahawa Basmalah merupakan lafaz keamanan, sedangkan Surah al-Taubah diturunkan berkaitan peperangan.
Al-Mubarrid pula menjelaskan bahawa Basmalah membawa makna rahmat, manakala surah Bara’ah turun dalam konteks ketegasan dan kemurkaan terhadap pelanggaran yang berlaku.
Jadi, Yang Mana Satu Sebab Sebenar Surah Al-Taubah Tiada Bismillah?
Walaupun terdapat lima pandangan tersebut, jangan pula menganggap kesemuanya merupakan lima sebab muktamad yang berlaku serentak.
Menurut penjelasan Mufti WP, Imam al-Qurtubi menyimpulkan bahawa pandangan yang sahih ialah Basmalah tidak ditulis pada permulaan Surah al-Taubah kerana Jibril AS tidak datang membawa Basmalah ketika surah tersebut diturunkan.
Dalam erti kata mudah, umat Islam tidak meninggalkan Basmalah pada awal surah ini semata-mata berdasarkan andaian bahawa kandungannya “keras”.
Sebaliknya, begitulah Surah al-Taubah diterima dan dipelihara dalam mushaf al-Quran.
Boleh Ke Baca Bismillah Sebelum Surah Al-Taubah?
Dalam perkara ini terdapat perbezaan pandangan ulama.
Menurut nukilan yang dikemukakan Mufti WP, Ibnu Hajar al-Haitami dan Khatib al-Syirbini berpandangan haram membaca Basmalah pada awal Surah al-Taubah kerana Basmalah tidak ditulis pada permulaannya dalam mushaf.
Imam al-Ramli pula berpandangan makruh membacanya pada permulaan surah.
Imam al-Nawawi turut menyebut bahawa seseorang hendaklah menjaga bacaan Basmalah pada permulaan setiap surah kecuali Surah Bara’ah atau Surah al-Taubah.
Mufti WP akhirnya menyimpulkan bahawa membaca Basmalah ketika hendak memulakan surah ini tidak dituntut oleh syarak.
Justeru, elakkan membuat kenyataan umum bahawa semua ulama sepakat menghukum haram membaca Bismillah pada awal surah ini kerana terdapat perincian dan khilaf dalam kalangan mereka.
Nak Mula Surah Al-Taubah, Apa Yang Perlu Dibaca?
Jika tidak membaca Bismillah, bagaimana pula hendak memulakan Surah al-Taubah?
Seseorang boleh membaca lafaz isti’azah:
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
Kemudian terus membaca ayat pertama:
بَرَاءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab daripada Allah dan Rasul-Nya terhadap kaum Musyrikin yang kamu mengikat perjanjian dengan mereka.”
(Surah al-Taubah: 1)
Anjuran membaca isti’azah sebelum membaca al-Quran berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”
(Surah al-Nahl: 98)
Mufti WP menjelaskan pembaca yang bermula dari awal Surah al-Taubah boleh membaca isti’azah kemudian berhenti sebelum memulakan ayat pertama, atau menyambungkan isti’azah terus kepada ayat pertama tanpa Basmalah.
Jika menyambung bacaan daripada akhir Surah al-Anfal pula, terdapat tiga kaedah bacaan iaitu berhenti (wakaf), berhenti seketika tanpa mengambil nafas (saktah) atau menyambungkan terus bacaan (wasal), semuanya tanpa membaca Basmalah.
Keunikan Surah al-Taubah ini akhirnya mengingatkan bahawa cara membaca al-Quran bukan ditentukan berdasarkan kebiasaan semata-mata. Ia mempunyai panduan dan disiplin bacaan yang diwarisi serta dijelaskan oleh para ulama.
Jadi apabila sampai ke permulaan surah ini, bacalah isti’azah dan teruskan dengan ayat pertama tanpa menambah Basmalah di antaranya.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Tak Baca Bismillah Dalam Surah Al-Fatihah Ketika Solat, Ibadah Tidak Sah Menurut Imam Syafie
BACA JUGA: Tidak Membaca Taawwuz Sebelum Al-Fatihah, Sah Ke Solat? Dr Zulkifli Jelaskan Hukum & Cara Yang Betul
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.