
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan laporan mengenai insiden seorang individu yang bukan sahaja menghalang tugas, malah bertindak menengking dan mengugut anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas. Kejadian seumpama ini, malangnya, bukanlah yang pertama. Ia seakan menjadi cerminan kepada sikap segelintir anggota masyarakat yang memandang remeh tugas penjawat awam atau petugas barisan hadapan, seolah-olah mereka tidak layak dihormati.
Tindakan merendah-rendahkan orang lain, meninggikan suara tanpa hak, dan menghalang urusan yang sah adalah manifestasi daripada sikap angkuh dan sombong. Dalam kesibukan mengejar status dan kebendaan, nilai adab dan kesopanan semakin terhakis. Ramai yang lupa bahawa jawatan, pangkat, atau kekayaan bukanlah lesen untuk berkelakuan biadab, terutamanya terhadap mereka yang sedang berkhidmat demi kemaslahatan umum.
Islam sebagai ad-Din yang syumul (lengkap) meletakkan adab dan akhlak pada kedudukan yang amat tinggi, mengatasi segala bentuk status duniawi. Isu keangkuhan dan kesombongan ini dipandang amat serius oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 23 yang bermaksud,”…Sesungguhnya Dia (Allah) tidak menyukai orang-orang yang sombong takbur.”
Ayat ini adalah peringatan yang tegas bahawa al-kibr (kesombongan) adalah sifat yang dibenci Allah. Ia adalah dosa pertama yang dilakukan oleh Iblis apabila ia enggan sujud kepada Nabi Adam A.S. atas alasan bahawa ia diciptakan daripada api yang dianggapnya lebih mulia berbanding tanah.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW memberikan definisi takabbur yang sangat jelas:
Bermaksud: Sombong itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan (menghina) manusia.”
Apabila seseorang individu menengking seorang petugas RELA, pengawal keselamatan, jururawat, atau guru, dia telah jatuh ke dalam kedua-dua kategori ini. Pertama, dia “menolak kebenaran” iaitu menafikan autoriti yang sah atau arahan yang diberikan oleh petugas tersebut. Kedua, dia “meremehkan manusia” dengan menganggap dirinya lebih tinggi, lebih berkuasa, atau lebih penting berbanding petugas itu. Ini adalah penyakit hati yang merosakkan iman.
Islam mengajar kita prinsip ihsan (melakukan sesuatu dengan cara terbaik) dalam semua interaksi. Ini termasuklah berinteraksi dengan mereka yang sedang menjalankan amanah. Petugas RELA, polis, tentera, dan semua penjawat awam adalah sebahagian daripada struktur Ulil Amri (pemerintah dan pihak berkuasa) dalam skop yang lebih luas, yang ditugaskan untuk menjaga ketenteraman dan urusan awam. Menghalang tugas mereka bukan sahaja satu kesalahan sivil, tetapi juga satu perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan menjaga maslahah ‘ammah (kepentingan umum).
Imam al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din, banyak membahaskan mengenai penyakit-penyakit hati seperti ujub (kagum pada diri sendiri) dan takabbur (sombong). Beliau mengingatkan bahawa ubat bagi penyakit ini adalah tawadhu’ (rendah hati). Tawadhu’ bukanlah bermaksud menghinakan diri, tetapi meletakkan diri sesuai pada tempatnya dan menghormati orang lain kerana Allah. Seseorang yang tawadhu’ akan sedar bahawa kemuliaan sebenar di sisi Allah bukanlah pada pangkat atau harta, tetapi pada taqwa.
Dalam konteks moden, kita sering melihat individu menyalahgunakan status sosial atau “kabel” yang dimiliki untuk menindas mereka yang dianggap “kecil”. Contohnya, memarahi petugas kaunter kerana terpaksa menunggu giliran, atau menggunakan bahasa kesat terhadap pengawal keselamatan yang hanya mengikut prosedur. Rasulullah SAW, pemimpin agung umat, tidak pernah sekali pun meninggikan suara atau menghina mereka yang berkhidmat untuk Baginda, seperti Anas bin Malik R.A, yang berkhidmat untuk Baginda selama sepuluh tahun.
Justeru, insiden yang berlaku harus menjadi titik muhasabah besar buat kita semua. Ia bukan sekadar isu jenayah atau sivil kerana menghalang penjawat awam, tetapi ia adalah isu keruntuhan akhlak yang berpunca daripada hati yang sakit.
Kita perlu mendidik diri dan masyarakat untuk kembali menghayati nilai tawadhu’. Hormatilah setiap individu tanpa mengira pakaian seragam atau pangkat mereka, selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Setiap pekerjaan yang halal adalah mulia, dan mereka yang berkhidmat untuk masyarakat layak mendapat penghargaan, atau sekurang-kurangnya, adab yang baik daripada kita. Ingatlah, akhlak mulia adalah cerminan iman yang sebenar.
Sumber artikel: Berita Harian
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat ⤵️
Website: https://www.waktusolat.digital/
Facebook:https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram:https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy