Solat jamak qasar mungkin menjadi persoalan bagi peminat Formula 1 (F1) yang sanggup datang dari jauh ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.
Selepas sembilan tahun, perlumbaan F1 kembali ke Sepang menerusi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
Ada yang datang dari Johor, Pulau Pinang, Perak atau negeri lain dan mungkin perlu berada di sekitar litar hampir sepanjang hari.
Dalam keterujaan menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia ini, kewajipan solat tetap perlu dijaga.
Persoalannya, adakah perjalanan untuk menonton F1 membolehkan seseorang melakukan solat jamak qasar?
Boleh Ke Solat Jamak Qasar Kalau Musafir Untuk Tengok F1?
Secara asasnya, boleh sekiranya perjalanan tersebut benar-benar memenuhi syarat musafir yang ditetapkan syarak.
Walaupun belum ada fatwa khusus berkaitan menonton F1, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menjawab persoalan hampir sama mengenai seseorang yang bermusafir untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium.
Menurut penjelasan tersebut, seseorang yang bermusafir untuk menonton perlawanan bola sepak diharuskan mengambil rukhsah atau keringanan solat jamak qasar, selagi perjalanan itu tidak dilakukan dengan tujuan melakukan maksiat.
Prinsip sama boleh difahami bagi perjalanan untuk menghadiri acara sukan lain yang pada asalnya diharuskan.
Ini bermakna tujuan untuk menonton F1 semata-mata tidak menyebabkan seseorang kehilangan rukhsah musafir.
Solat Jamak Qasar Ada Syarat Jarak Perjalanan
Namun, membeli tiket F1 dan pergi ke Sepang tidak secara automatik membolehkan seseorang melakukan solat jamak qasar.
Antara perkara utama yang perlu dilihat ialah jarak perjalanan.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berdasarkan perbahasan fiqh Mazhab Syafie, perjalanan musafir hendaklah mencapai dua marhalah, yang dianggarkan melebihi 81 kilometer.
Justeru, seseorang yang datang dari negeri atau kawasan jauh dan perjalanannya memenuhi jarak tersebut boleh mengambil rukhsah solat jamak qasar setelah memenuhi syarat-syaratnya.
Sebaliknya, jika seseorang tinggal berdekatan Sepang dan perjalanannya tidak mencapai jarak musafir, kesesakan jalan raya atau berada lama di litar bukan alasan untuk mengambil rukhsah ini.
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Ayat ini menjadi antara dalil pensyariatan qasar bagi mereka yang berada dalam keadaan musafir.
Bagaimana Solat Jamak Qasar Dilakukan Ketika Musafir?
Bagi mereka yang memenuhi syarat, solat jamak qasar memberi kemudahan dalam menjaga ibadah ketika perjalanan.
Jamak bermaksud menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, iaitu:
- Zohor bersama Asar
- Maghrib bersama Isyak
Qasar pula bermaksud memendekkan solat empat rakaat, iaitu Zohor, Asar dan Isyak, kepada dua rakaat.
Solat Maghrib kekal tiga rakaat manakala Subuh kekal dua rakaat.
Daripada Ibn Abbas RA, diriwayatkan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلَاةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menghimpunkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan menghimpunkan antara Maghrib dan Isyak.”
(Riwayat al-Bukhari)
Justeru, solat jamak qasar merupakan keringanan yang diberikan Allah SWT kepada orang yang bermusafir, bukan alasan untuk meninggalkan solat.
Datang Tiga Hari Tengok F1, Masih Boleh Solat Jamak Qasar?
F1 di Sepang berlangsung selama tiga hari, dari Jumaat hingga Ahad.
Namun tempoh seseorang berada di Sepang bergantung kepada rancangan perjalanannya sendiri.
Dalam Mazhab Syafie, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa seseorang yang berniat menetap selama empat hari atau lebih di destinasi, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, tidak lagi mengambil hukum musafir setelah sampai.
Jika tempohnya tidak mencapai had tersebut dan syarat lain dipenuhi, rukhsah solat jamak qasar masih boleh digunakan.
Jadi, bukan tempoh acara F1 semata-mata yang menentukan hukum, sebaliknya tempoh sebenar seseorang berniat menetap di destinasi.
Tengok F1 Jangan Sampai Solat Ditinggalkan
Perlumbaan utama pada Ahad, 4 Oktober dijadualkan bermula jam 3 petang dan berlangsung sehingga sekitar jam 5 petang, manakala pelbagai aktiviti di litar bermula lebih awal.
Sebab itu, peminat Muslim sebaiknya menyusun perjalanan dan waktu solat lebih awal.
Bagi yang benar-benar musafir, manfaatkan kemudahan solat jamak qasar mengikut syaratnya.
Bagi yang tidak memenuhi syarat musafir pula, solat perlu dilakukan seperti biasa dalam waktunya.
Islam tidak menghalang seseorang menikmati sukan dan hiburan yang diharuskan.
Namun keseronokan itu tidak sepatutnya menyebabkan kewajipan kepada Allah SWT diketepikan.
Pergilah menikmati kemeriahan F1 di Sepang, tetapi jangan biarkan deruman enjin membuatkan kita terlupa panggilan azan.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Boleh Ke Solat Jamak Dan Qasar Sampai 18 Hari Ketika Musafir? Ini Hukum & Syarat Yang Perlu Dipenuhi
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.