Bersumpah dengan nama Allah perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Islam melarang seseorang bersumpah palsu atau menggunakan sumpah untuk menutup kesalahan.

Bersumpah palsu termasuk dalam dosa besar yang dikenali sebagai al-yamin al-ghamus iaitu sumpah yang menjerumuskan pelakunya ke dalam api neraka.

Perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah merosakkan maruah diri dan kepercayaan orang lain.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Jika seseorang itu telah bersumpah dengan nama Allah tetapi melanggarnya, ia diwajibkan untuk membayar kaffarah.

Kaffarah sumpah boleh dilakukan dengan memberi makan kepada 10 orang miskin, memberi pakaian, atau membebaskan hamba, dan jika tidak mampu maka berpuasa selama tiga hari (Surah al-Ma’idah ayat 89).

Ini menunjukkan bahawa sumpah bukan perkara ringan yang boleh dilanggar sesuka hati.

Umat Islam perlu berhati-hati dalam mengucapkan sumpah. Jangan menjadikan sumpah sebagai kebiasaan atau sekadar untuk menambah keyakinan kepada seseorang dalam percakapan.

Bersumpah dengan nama Allah sepatutnya hanya dilakukan apabila perlu, dengan niat yang benar, dan tanpa unsur penipuan. Inilah tanda keimanan yang memelihara lidah dan hati daripada bermain dengan nama Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan