
Dalam sejarah moden, sambutan Hari Ibu wujud sebagai cara untuk menghargai jasa dan pergorbanan seorang ibu. Ianya bermula di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20. Namun dalam Islam, penghargaan kepada ibu tidak perlu terikat dengan hari tertentu.
Malah, sudah menjadi kewajipan yang berterusan sepanjang hayat. Menurut Irsyad Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sambutan ini adalah dibolehkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ianya bukan perayaan agama.
Islam menekankan bahawa keutamaan berbakti kepada ibu tidak pernah luput, bahkan diperintahkan dalam Al-Quran.
Kedudukan ibu di sisi Islam begitu jelas, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Ahqaf ayat 15:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
Rasulullah SAW juga bersabda:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)
Kesimpulannya, Islam tidak membataskan kasih sayang seorang anak kepada ibu kepada satu hari khusus. Apa yang lebih penting ialah menjaga akhlak, menghormati, dan berbakti secara berterusan selagi masih bernyawa.
Sebagaimana Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 23–24,
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan