Abu Hurairah R.A pernah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun Abu Hurairah berjaya menangkapnya.

“Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW,” gertak Abu Hurairah. Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, sehingga dia merayu :

“Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya ramai dan saya sangat memerlukan makanan.” Maka pencuri itu pun dilepaskan.

Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah SAW. Maka bertanyalah beliau : “Apa yang dilakukan kepada tetamu semalam, ya Abu Hurairah?”

Dia mengeluh, “Ya Rasulullah, dia seorang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan makanan,” jawab Abu Hurairah.

Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu lalu dilepaskannya. “Dia berbohong,” sabda Nabi Muhammad SAW. Baginda terus bersabda : “Pada waktu malam nanti dia akan datang lagi.”

Kerana Rasulullah SAW berkata begitu, maka penjagaannya diperketatkan dan kewaspadaan pun dipertingkatkan. Benar sekali pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti semalam.

Kali ini dia juga tertangkap. “Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW,” ugut Abu Hurairah, sama seperti malam sebelumnya.

Pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi.” Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu dan kali ini pun dia dilepaskan.

Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan beliau pun bertanya seperti kelmarin.

Setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah SAW menegaskan : “Pencuri itu bohong, dan malam nanti dia akan kembali lagi.”

Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan lebih berwaspada. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya kerana sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri.

Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah SAW dan dia berjaya menangkapnya, pasti tidak akan dilepaskannya kali ini.

Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri itu. Beliau kesal. Kenapa pencuri semalam itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah SAW.

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi ketika tiba-tiba muncul bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dijaganya. “Benar, dia datang lagi,” katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan.

Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya. “Kali ini kau pastinya ku adukan kepada Rasulullah SAW.

Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. “Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggamnya erat, dapat difahami bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi.

Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata : “Lepaskan saya, saya akan mengajarkan tuan beberapa kalimah yang sangat berguna.” “Kalimah-kalimah apakah itu?” tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu.

“Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu…..dan seterusnya sampai ke akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.” Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah.

Keesokan harinya, Abu Hurairah mengadu kepada Baginda tentang pencuri tersebut yang mengajarnya ayat Kursi. Abu Hurairah berkata: “Wahai Rasulullah, ia mengaku bahawa ia mengajarkan suatu kalimah yang Allah beri manfaat padaku jika membacanya. Sehingga aku pun melepaskan dirinya.”

Nabi SAW bertanya: “Apa kalimah tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Ia mengatakan padaku, jika aku hendak pergi tidur di katil, hendaklah membaca ayatul kursi hingga selesai iaitu bacaan ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qayyum’.

Lalu ia mengatakan padaku bahawa Allah akan sentiasa menjagaku dan syaitan pun tidak akan mendekatimu hingga pagi hari. Dan para sahabat lebih semangat dalam melakukan kebaikan”.

Nabi SAW pun bersabda:

“Adapun dia di ketika itu berkata benar, namun asalnya dia pendusta. Engkau tahu siapa yang bercakap denganmu sampai tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?”

“Tidak”, jawab Abu Hurairah. Nabi SAW berkata: “Dia adalah syaitan”.

(HR al-Bukhari)

Sumber: Portal Rasmi Jakim