Prank kini menjadi satu trend yang semakin popular, khususnya dalam kalangan content creator di media sosial dan YouTube.
Walaupun bermula sebagai gurauan ringkas untuk hiburan, ia semakin melampau apabila melibatkan penipuan, menakut-nakutkan orang lain, atau mendedahkan aib tanpa kebenaran.
Rasulullah SAW sendiri mengajar bahawa batas gurauan itu wajar dijaga agar tidak menjadi fitnah atau berlebihan.
Menurut Irsyad Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, prank itu tidak haram, asalkan ia bersifat ringan dan boleh diterima oleh yang diguraukan.
Namun, jika prank tersebut melampau, contohnya menipu, mencetus keresahan, memalukan, atau membuka aib, ia dianggap haram dan menyalahi syariat.
Banyak video di media sosial kini dilihat menjatuhkan maruah mangsa dan menyebarkan aib mereka secara terbuka.
Islam amat menitikberatkan kehormatan dan perasaan sesama Muslim.
وَقَالَ صلى الله عليه وسلم إن الله يكره أذى المؤمنين
Maksudnya: Dan Rasulullah bersabda, sesungguhnya Allah s.w.t membenci orang yang menyakiti orang-orang beriman. (Rujuk Ihya’ Ulumuddin 195/2)
Selain itu, Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 mengingatkan umat Islam agar tidak merendahkan atau mengejek orang lain.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Bahkan, gurauan yang sekadar untuk hiburan tidak dibenarkan jika mengundang rasa malu atau keresahan.
Kesimpulannya, prank yang baik ialah prank yang sopan dan tidak menyinggung perasaan. Islam menganjurkan agar kita menggunakan kesempatan tersebut untuk menyebarkan manfaat, bukan fitnah.
Oleh itu, gantikan video prank yang melampau dengan video yang memberi pengajaran dan ketenangan hati.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan