Malaysia kehilangan seorang insan hebat yang menjadi simbol ketabahan dan keimanan ketika diuji.

Bekas guru yang menjadi perhatian di media sosial kerana keberanian dan ketenangannya melawan tiga jenis kanser, Nassry Mardee bin Ismail, 45, atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, telah kembali ke Rahmatullah pada Selasa, 11 November 2025 kira-kira jam 4 petang.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Ipoh, Perak selepas lebih setahun berjuang melawan kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru tahap empat yang dihadapinya dengan luar biasa tenang, penuh sabar dan reda terhadap ketentuan Allah.

Dikebumikan dalam suasana mengharukan dan penuh doa

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh, pada malam yang sama.

Ratusan kenalan, saudara-mara, dan pengikut yang mengenali beliau hadir memberi penghormatan terakhir termasuk sahabat pendidik Mohd Fadli Salleh dan pendakwah Mohammad Yaakub Yusra.

Suasana di tanah perkuburan penuh pilu dan sayu. Biarpun hanya seorang bekas guru, namun kehadiran orang ramai membuktikan bagaimana perjuangan Cikgu E telah menyentuh hati ribuan insan di seluruh negara.

“Ustaz, saya cuma ada 3 minggu lagi”

Dalam hantaran di laman Facebook, pendakwah Mohammad Yaakub Yusra berkongsi pesanan terakhir arwah ketika menziarahinya di hospital:

“Ustaz, saya cuma ada tiga minggu ja lagi.”

Tepat tiga minggu selepas perbualan itu, Allah menjemputnya pulang pada masa yang indah, penuh tanda kasih Ilahi.

Beliau menulis lagi:

“Sungguh kuat Cikgu E berdamai dengan takdir. Kita ini baru diuji sedikit sudah terasa gelap dunia, tapi ujian sakit buat Cikgu seperti cahaya yang menerangi sisa umur yang ada.”

Beliau turut memuji kekuatan balu arwah, Kak Azz, serta ketenangan anak-anak mereka, Hakim, Hana, Aleesya, Qistina dan Hafiz yang semuanya kelihatan redha dengan pemergian ayah tercinta.

“Hang betul-betul cikgu lah, E”

Dalam satu lagi hantaran menyentuh hati, sahabatnya Mohd Fadli Salleh menulis:

“E, hang tau dak, orang mai solat jenazah hang melimpah sampai tangga. Orang iring hang pi kubur pun bersesak-sesak nak tengok hang kali terakhir.”

“Hang ni bukan raja, bukan YB, bukan artis, tapi seluruh Malaysia menulis tentang hang sebab semangat dan reda hang terhadap ujian Allah.”

“Hang mengajar orang bukan hanya ketika hidup, tapi sampai masa hang meninggal pun masih memberi inspirasi. Hang betul-betul cikgu lah, E.”

Tulisan itu menjadi tular di media sosial, mengundang tangisan dan doa daripada ribuan netizen yang mengikuti perjuangan Cikgu E sejak awal diagnosisnya.

Perjuangan melawan tiga anser

Cikgu E sebelum ini disahkan menghidap tiga jenis kanser sejak Mac 2024.

Keadaannya pernah mencapai tahap kritikal dengan hanya 30 peratus saluran pernafasan berfungsi.

Walaupun begitu, beliau terus berkongsi kata-kata semangat dan kekuatan di media sosial menjadikan laman Facebook miliknya sebagai tempat inspirasi bagi mereka yang sedang diuji.

Beliau juga pernah memerlukan dana rawatan RM200,000 bagi meneruskan rawatan double immunotherapy, selepas perlindungan takaful sedia ada tidak mencukupi.

Namun, setiap ujian diterimanya dengan hati terbuka dan senyuman, tanpa pernah mengeluh tentang takdir.

Cahaya ketika ujian

Dalam setiap perkongsian, Cikgu E menulis dengan bahasa lembut dan berjiwa besar.

Beliau sering mengingatkan masyarakat untuk mensyukuri nikmat kesihatan, menghargai masa bersama keluarga, dan berbuat baik walau dalam kesakitan.

“Kalau rindu, pandanglah langit dan senyumlah,” tulisnya dalam salah satu status terakhir pesanan yang kini menjadi peringatan abadi buat keluarga dan ribuan pengikutnya.

Tanda husnul khatimah

Pemergian Cikgu E dianggap sebagai tanda husnul khatimah oleh ramai sahabat dan masyarakat.

Beliau pergi dengan persiapan yang rapi seperti seorang pelari yang bersedia menyertai maraton, begitulah persediaannya menemui Allah SWT.

“Dia pergi dengan tenang, dalam reda, dan dalam keadaan semua orang mendoakan,” kata salah seorang kenalannya. “Ramai orang sayang dia kerana dia mengajar erti sabar, reda dan syukur dalam ujian.”

Cikgu E bukanlah seorang tokoh besar, bukan ahli politik atau selebriti.

Namun perjuangannya melawan sakit dengan keimanan dan ketenangan menjadikan beliau sumber inspirasi kepada ribuan umat.

Semoga roh Allahyarham Nassry Mardee bin Ismail dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para solihin di sisi Allah SWT.

Semoga keluarganya terus tabah dan diberi kekuatan oleh Allah yang Maha Penyayang.

“Rehatlah, Cikgu E.
Doa kami mengiringimu — hingga kita bertemu semula, insya-Allah, di syurga abadi.”

Sumber: Facebook Nassry Mardee Ismail IV, Mohd Fadli Salleh, Mohammad Yaakub Yusra, Astro Awani, Sinar Harian, Majoriti

Artikel berkaitan: Graduan Kanser Tahap 4 : Teguh Menghadapi Ujian

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy