Dalam era media sosial yang semakin rancak, budaya meninggalkan komen yang menghina, memperli dan merendahkan orang semakin menjadi kebiasaan.
Sebahagian manusia merasakan diri lebih ‘berani’ bila berada di belakang skrin, seolah-olah kata-kata yang dilemparkan itu hilang begitu sahaja tanpa dicatat atau diperhitungkan.
Sedangkan dalam Islam, menjaga lidah dan menjaga hati termasuk kewajipan moral yang sangat besar, antaranya ialah perintah untuk jaga aib manusia.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap patah perkataan yang keluar dari mulut atau jari kita akan dinilai. Maka budaya komen hina bukan perkara kecil, tetapi melibatkan maruah, dosa, dan tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT.
Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan amaran keras agar manusia tidak menjadikan maruah orang lain sebagai bahan permainan. Firman Allah SWT:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا یَسۡخَرۡ قَوۡمࣱ مِّن قَوۡمٍ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain…” (Surah al-Hujurat: 11)
Ayat ini menuntut kita untuk jaga aib dan menjaga kehormatan sesiapa sahaja, bukan hanya rakan, keluarga atau kenalan.
Perolokan itu termasuk body shaming, sindiran terbuka, memalukan seseorang, menyebarkan rakaman memalukan dan meninggalkan komen yang meruntuhkan mental orang lain.
Jaga aib orang, Allah jaga aib kita
Islam tidak membezakan sama ada olokan itu dilakukan di depan manusia atau di ruang digital; dosa tetap dosa. Nabi Muhammad SAW menguatkan lagi seruan ini melalui sabda Baginda:
مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan kepada mereka yang jaga aib orang lain. Jika kita menutup kekurangan seseorang, Allah sendiri akan menjaga kekurangan kita di dunia mahupun di akhirat.
Tetapi jika kita sengaja membuka, membesarkan atau menyebarkan aib seseorang, itu petanda buruk terhadap keadaan diri kita pada hari pembalasan kelak. Adakah kita sanggup maruah kita dibuka oleh Allah SWT di depan seluruh manusia?
Kata para ulama, orang yang sibuk membuka aib orang lain sebenarnya sedang membuka pintu kehinaan kepada dirinya sendiri. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa menjaga maruah sesama manusia merupakan asas dalam membentuk masyarakat berakhlak.
Apabila seseorang rasa bebas untuk menghina di ruang komen, ia akan membentuk budaya tidak sihat yang akhirnya merosakkan hubungan, menimbulkan permusuhan, dan mencipta suasana yang jauh dari rahmat Allah SWT.
Oleh itu, budaya jaga aib bukan sekadar adab, tetapi benteng kepada kehancuran moral masyarakat.
Jaga aib, ia bukan bahan sindiran
Ustazah Asma’ Harun pernah mengingatkan bahawa maruah manusia bukan bahan sindiran atau bahan konten.
Semakin banyak kandungan media sosial menjadikan aib sebagai hiburan, semakin jauh kita daripada sifat malu yang merupakan sebahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW:
اَلْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari)
Malu bukan hanya mengenai pakaian atau perbuatan, tetapi juga rasa malu untuk membuka dan mendedahkan keburukan orang lain.
Orang yang benar-benar beriman akan berusaha jaga aib orang lain kerana memahami bahawa aib manusia adalah rahsia yang Allah tutupkan atas rahmat-Nya.
Media sosial bukan medan untuk membunuh karakter manusia. Ia bukan tempat untuk melayan nafsu marah, cemburu atau dengki. Setiap kali kita ingin menulis sesuatu yang mengguris, ingat sabda Nabi SAW:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)
Diam itu lebih selamat daripada menulis sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Jika kita tidak mampu menulis kebaikan, diam adalah ibadah. Ia langkah paling mudah untuk jaga aib orang lain dan menjaga hati sendiri daripada dosa.
Tuan Puan yang dirahmati Allah, kita tidak pernah tahu kesan sebenar kata-kata kita. Ada orang yang sedang melalui tekanan mental, keletihan hidup atau sedang menanggung luka yang tidak terlihat.
Satu komen sinis boleh menjadi punca seseorang merasa putus asa. Satu komen menghina boleh memusnahkan keyakinan diri seseorang.
Maka setiap kali kita ingin menulis, tanyalah diri: Adakah kita sedang membina atau meruntuhkan? Adakah kita sedang menenangkan atau menambah luka?
Hidup ini sudah cukup sukar, jangan menambah kesukaran kepada orang lain. Dengan kita berusaha jaga aib, mudah-mudahan Allah juga menjaga aib kita dalam kehidupan ini dan di akhirat kelak.
Artikel berkaitan: Hentikan Gurauan Menyakiti Ketika Sesi Jualan ‘Live’: Adab Islam Dalam Berniaga Adalah Cerminan Hati
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!