Isu yang tular baru-baru ini menampilkan seorang lelaki berusia 35 tahun meluahkan rasa terkilan kerana sering dipertanggungjawabkan menjaga ibunya yang uzur setiap kali jururawat peribadi yang diupah abangnya bercuti.
Walaupun abangnya berkemampuan serta telah melantik penjaga profesional, namun beliau jarang hadir untuk bersama menjaga ibu mereka.
Situasi ini memberi tekanan besar kepada si adik yang turut memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa, selain menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) dengan isterinya serta menjaga anak kecil yang baru berusia setahun enam bulan.
Dalam Islam, menjaga ibu bapa, terutamanya yang uzur atau sakit, bukan hanya suatu tugas tetapi juga satu amanah besar yang membawa ganjaran pahala syurga. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 23:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Islam juga mengingatkan bahawa setiap anak harus mengambil bahagian dalam menjaga ibu bapa tanpa mengira jantina atau kedudukan.
Tidak semestinya anak lelaki sahaja, yang penting adalah niat dan kemampuan serta keadilan antara adik-beradik.
Islam menggalakkan agar adik-beradik berbincang mengenai pembahagian tanggungjawab secara adil dan penuh kasih, bukan sebaliknya yang boleh menyebabkan hati terluka.
Sumber: MStar