Orang nazak yang sedang menghampiri saat kematian tentunya membuatkan ahli keluarga berasa sedih dan cemas, namun dalam keadaan itu ada beberapa adab yang boleh dilakukan untuk mengiringi insan tersayang menghadapi detik akhirnya.

Salah satu persoalan yang sering timbul ialah bagaimana kedudukan tubuhnya dan adakah kedua-dua kaki perlu dihalakan ke arah kiblat?

Secara ringkasnya, disunatkan menghadapkan seseorang yang sedang nazak ke arah kiblat.

Namun, menghalakan kaki ke kiblat bukanlah satu-satunya cara.

Para ulama membincangkan beberapa kaedah untuk membaringkan orang nazak, bergantung kepada keadaan dan kemampuannya.

Cara Utama Baringkan Orang Nazak Menghadap Kiblat

Syeikh Abd al-Rahman al-Jaziri dalam al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah menerangkan bahawa orang nazak disunatkan dihadapkan ke arah kiblat.

Beliau menyebut:

يُسَنُّ أَنْ يُوَجَّهَ مَنْ حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ إِلَى الْقِبْلَةِ بِأَنْ يُجْعَلَ عَلَى جَنْبِهِ الْأَيْمَنِ وَوَجْهُهُ لَهَا إِنْ لَمْ يَشُقَّ ذَلِكَ، وَإِلَّا وُضِعَ عَلَى ظَهْرِهِ وَرِجْلَاهُ لِلْقِبْلَةِ، وَلَكِنْ تُرْفَعُ رَأْسُهُ قَلِيلًا لِيَصِيرَ وَجْهُهُ لَهَا

Maksudnya: “Disunatkan menghadapkan orang yang hampir mati ke arah kiblat dengan meletakkannya di atas rusuk kanan dan wajahnya menghadap kiblat jika perkara itu tidak menyukarkannya. Jika sukar, maka dia dibaringkan di atas belakangnya dengan kedua-dua kaki menghala ke kiblat dan kepalanya ditinggikan sedikit supaya wajahnya menghadap ke arah kiblat.”

Mudahnya, jika keadaan mengizinkan, orang nazak boleh dibaringkan secara mengiring di atas rusuk kanan dengan wajah menghadap kiblat.

Kaedah ini juga selari dengan pandangan yang ditarjihkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ketika membincangkan kedudukan jenazah, iaitu mengiring di atas lambung kanan dengan menghadap kiblat.

Bila Kaki Orang Nazak Dihalakan Ke Arah Kiblat?

Bagaimana pula dengan cara yang biasa kita lihat, iaitu membaringkan orang nazak secara terlentang dengan kaki menghala ke kiblat?

Cara tersebut turut disebut oleh para ulama.

Jika sukar untuk meletakkan orang nazak di atas rusuk kanan, dia boleh dibaringkan secara terlentang.

Kedua-dua kakinya dihalakan ke arah kiblat dan bahagian kepala ditinggikan sedikit.

Tujuannya adalah supaya wajahnya turut menghadap ke arah kiblat.

Justeru, jangan terus menganggap cara membaringkan seseorang secara terlentang dengan kaki menghala ke kiblat sebagai salah.

Ia mempunyai sandaran dalam perbahasan fuqaha dan menjadi pilihan apabila keadaan mengiringkannya menyukarkan.

Jangan Sampai Menyusahkan Orang Nazak

Perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah keadaan orang nazak itu sendiri.

Perkataan ulama “jika tidak menyukarkan” menunjukkan bahawa keselesaan dan keadaan individu tersebut perlu diambil kira.

Jangan terlalu memaksa tubuhnya mengikut sesuatu kedudukan sehingga menyebabkan kesakitan atau kesukaran.

Jika mudah untuk mengiringkannya ke kanan dengan wajah menghadap kiblat, maka lakukan demikian.

Jika kedudukan itu sukar kerana penyakit, peralatan perubatan atau keadaan fizikalnya, gunakan kaedah yang lebih sesuai.

Ahli keluarga juga tidak sepatutnya terlalu panik sehingga saat tersebut dipenuhi perbincangan mengenai kedudukan tubuh semata-mata.

Selain Kedudukan Orang Nazak, Ingatkan Juga Kalimah Tauhid

Selain menjaga kedudukan orang nazak, Rasulullah SAW turut mengajar supaya orang yang hampir meninggal dunia dibimbing dengan kalimah tauhid.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Ajarkanlah kepada orang-orang yang hampir meninggal dunia dalam kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah.”

(Riwayat Muslim)

Talqin tersebut dilakukan dengan penuh kelembutan, bukan dengan mendesak sehingga menyebabkan orang yang sedang sakit bertambah tertekan.

Kesimpulannya, orang nazak disunatkan dihadapkan ke arah kiblat.

Cara yang utama ialah membaringkannya di atas rusuk kanan dengan wajah menghadap kiblat jika keadaan mengizinkan.

Jika cara itu menyukarkan, orang nazak boleh dibaringkan secara terlentang dengan kedua-dua kaki menghala ke kiblat serta kepala ditinggikan sedikit supaya wajahnya menghadap kiblat.

Jadi, bukan sekadar “kaki mesti menghadap kiblat”.

Matlamatnya ialah menghadapkan orang nazak ke arah kiblat dengan kaedah yang sesuai tanpa memberikan kesukaran kepadanya.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

BACA JUGA: Panduan Ringkas Cara Solat Jenazah, Lengkap Dengan Niat, 4 Takbir & Doa Yang Perlu Dibaca

BACA JUGA: Hanya Sebahagian Anggota Badan Mangsa Bencana Ditemui, Perlu Ke Dimandikan & Solat Jenazah? Dr Zulkifli Jelaskan Hukumnya

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9